KUALA LUMPUR: Pembangunan wakaf korporat sebagai satu instrumen
kewangan Islam dilihat bakal mengangkat Malaysia menjadi pusat
kecemerlangan hab wakaf korporat jika ia ditadbir dan dikawal selia
secara profesional.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Iqra, Datuk Seri Idris Jusoh
berkata, pembangunan wakaf korporat dapat merealisasikan matlamat
kerajaan untuk menggerakkan kerjasama awam swasta (PPP) bagi pembangunan
negara selain menggalakkan budaya memberi dalam kalangan masyarakat.
“Yayasan Iqra menyambut baik hasrat kerajaan membangunkan wakaf
korporat ketika pembentangan Bajet 2013 kerana dilihat sebagai satu
instrumen yang berpotensi mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam
membiayai program pembangunan masyarakat.
“Wakaf korporat dalam bentuk instrumen baru seperti saham, sukuk serta harta tak alih dilihat dapat mengurangkan beban kerajaan seperti membina institusi pendidikan, perniagaan dan infrastruktur yang secara tidak langsung dapat mengurangkan cukai kerajaan kepada pengguna,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Iqra yang lain iaitu Datuk Halipah Esa serta Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 lalu mengumumkan, Yayasan Wakaf Malaysia di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (Jawhar) dipertanggungjawabkan untuk merangka pelan induk dengan mengambil kira struktur perundangan agama Islam negeri yang bakal menjadi platform pembangunan wakaf korporat di Malaysia. Menurut Idris, yayasan itu kini dalam usaha mendapat perkenan semua pihak untuk menjadikan wakaf korporat sebagai instrumen modal teroka dan pelaburan baru bagi memperkasakan ekonomi Islam.
“Yayasan Iqra bersedia memberi input kepada kerajaan dengan menjadi satu entiti yang diberi peluang melaksanakan wakaf korporat sebagai satu prasarana kewangan berlandaskan prinsip Islam,” katanya.
/hwa: hmetro.com.my | 4/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan