KOTA BHARU 22 Okt. - Ketika kepulangan pasukan The Red Warriors
disambut meriah oleh lebih 10,000 peminat meskipun dalam suasana hujan,
lain pula yang berlaku dalam ceramah perdana sempena 22 tahun
pemerintahan Pas di Kelantan, di sini malam tadi.
Jika sebelum ini, pembangkang terutama Pas cukup berbangga dengan
sambutan hangat rakyat Kelantan terhadap ceramah-ceramah politik mereka,
namun suasana agak hambar dialami Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang dan pemimpin pembangkang lain yang berceramah sempena program itu.
Ceramah yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota
Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) itu antara lain turut menampilkan
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat
(PKR), Dr. Muhammad Nur Manuty.
Selain kurang mendapat sambutan, ceramah anjuran Urus Setia
Penerangan Negeri itu juga menyaksikan tiada lagi pengasingan antara
lelaki dan perempuan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi dalam ceramahnya berkata, orang ramai
tidak seharusnya berasa pelik mengapa Pas sebagai sebuah parti Islam
boleh bekerjasama dengan DAP dan PKR.
"Memerintah negara boleh bercampur dalam persamaan dan tidak boleh paksa dalam perkara yang berbeza.
"Ada orang yang membaca ayat mengharamkan kerjasama dengan orang
kafir dan orang bukan Islam pada tahun 60-an, mengapa sekarang boleh
pula, ini ucapan orang yang tidak baca al-Quran seluruhnya, tidak baca
amalan Nabi SAW seluruhnya," katanya.
Abdul Hadi mendakwa, perjuangan Pas sebagai 'tahalluf siasi' yang
boleh melibatkan kerjasama atau persefahaman antara orang Islam dan
bukan Islam.
"Malangnya, UMNO gunakan tok-tok guru yang mengaji bab sembahyang
sahaja, tidak mengaji bab politik, ini menjadi masalah, samalah dengan
orang yang mengaji bab sembahyang, tak mengaji bab haji pergi ke Mekah,
dia melontar (jamrah) batu besar lengan.
"Kena belajar Islam jangan belajar dengan surat khabar, jangan
mengaji dengan surat khabar, kena mengaji dengan kitab. Di sana ada
perkara yang berbeza dan sama dalam kalangan manusia, yang berbeza
kepercayaan kepada Tuhan, cara buat ibadat, cara makan minum, halal dan
haram," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan