TAN Keng Liang (kanan) bersama Naib
Ketua Pemuda Gerakan, Wei Ren Tong (dua dari kanan), Chuah See Seng
(tiga dari kanan), dan Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Bakar Bata, Ng Tuan
Liang (kiri) menunjukkan salinan laporan polis di Ibu Pejabat Polis
Daerah Kota Setar, Alor Setar, Kedah, semalam.
*****
ALOR SETAR 22 Okt. - Kerajaan Pas Kedah dibidas kerana terus membisu
dalam isu projek pembalakan dan peladangan bernilai RM31.21 juta oleh
Kedah Corporation Berhad (KCB) di Papua New Guinea (PNG) yang
mengakibatkan kerugian sebanyak RM13.49 juta dan bayaran melobi sebanyak
RM1.21 juta.
Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berkata, pihaknya terpaksa
membuat laporan polis hari ini ekoran tiada sebarang maklum balas
selepas seminggu isu itu dibangkitkan pelbagai pihak berdasarkan Laporan
Ketua Audit Negara 2011.
Katanya, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa
menyiasat perkara tersebut untuk merungkai kebenaran demi menjaga nama
baik negara.
“Diharapkan kes ini akan mendedahkan kepada rakyat berhubung perkara
sebenar yang berlaku kerana projek itu mengakibatkan kerugian besar
kepada Kedah," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira pukul 10.30 pagi ini di sini.
Khamis lalu, Keng Liang meminta Menteri Besar, Datuk Seri Azizan
Abdul Razak memberi penjelasan berhubung projek itu yang mengalami
kerugian RM13.49 juta berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011.
Kerugian yang dinyatakan dalam laporan itu membabitkan pembayaran
goodwill kepada vendor sebanyak RM1.21 juta termasuk untuk tujuan melobi
menteri negara itu, pembayaran perbelanjaan mobililisasi (RM3 juta),
komisen dan yuran guaman pinjaman (RM1.6 juta) dan pinjaman daripada
lima syarikat dan kos berkaitan (RM7.68 juta) mulai 2007 hingga Mac
2011.
Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara 2011 turut mendedahkan,
kerajaan negeri membuat pinjaman kewangan mencecah RM135 juta sedangkan
nilai projek melalui harga belian saham hanya RM31.21 juta.
Keng Liang berkata, kerajaan negeri tidak sewajarnya berdiam diri terhadap laporan itu kerana isu berkenaan amat serius.
“Biar polis siasat dulu kes ini. Sekiranya perlu, polis boleh merujuk
kes tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),"
katanya.
Beliau menaruh harapan tinggi kepada polis menyiasat kes tersebut dan
berharap kerajaan negeri serta menteri besar memberi kerjasama dalam
membantu siasatan kes tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad
Bashah Md. Hanipah berkata, segala ketirisan dan kerugian yang
dilaporkan tidak boleh ditutup kerana melibatkan jumlah yang sangat
besar.
“Segala kepincangan mesti diberi penjelasan. Kita mahu kerajaan
negeri mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu dan pengurusan
syarikat terlibat dan janganlah berdiam diri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan