1 Oktober 2012

Janji kerajaan berpaksi realiti

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah pertaruhan antara transformasi besar dibawa kerajaan dengan janji pembangkang yang boleh membawa malapetaka kepada negara.

Justeru, Datuk Seri Najib Razak, berkata rakyat perlu membandingkan dan menilai bajet yang dibentangkannya, Jumaat lalu, dengan belanjawan pembangkang yang tidak realistik.
Perdana Menteri berkata, rakyat juga perlu berwaspada dengan tiga senjata pembangkang, iaitu ‘kutuk, hasut dan janji’ termasuk menjanjikan matahari, bulan, malah galaksi, demi mencapai cita-cita meraih sokongan pengundi.

Sebaliknya, beliau berkata, janji kerajaan kepada rakyat, berpaksikan realiti yang dikaji serta diteliti secara mendalam bersama pakar dalam dan luar negara untuk memastikannya dapat dicapai.

“Sudah tiba masanya pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) masuk gelanggang, berjuang secara ofensif dan jangan takut untuk menghadapi pembangkang.

“Cabaran terbesar ialah bangkit penuh bersemangat dan menunjukkan kekuatan dalam keadaan sukar, tertekan, kalah dan susah di mana kejayaan akan menyusuli kerja keras sebagai satu pasukan bersama strategi dan perancangan strategik,” katanya merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional GERAKAN di sini, semalam.

Bukan bermain politik populis
Menyentuh dakwaan pembangkang bajet dibentangkannya bersifat populis dan gimik politik, Najib berkata: “Ini mengenai masa depan negara, bukan bermain politik populis, janganlah mengaburi mata dan mendodoi rakyat dengan pelbagai janji.

“Kita mesti mendidik rakyat apa yang betul dan salah. Adalah salah jika hutang tidak payah bayar. Dia (pembangkang) mahu menghapuskan RM30 bilion hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), ini bererti rakyat sebagai pembayar cukai perlu menanggungnya.

“Selepas itu, dia mahu menghapuskan tol. Semua syarikat itu (konsesi tol) adalah syarikat senaraian awam, seluruh Bursa Saham dan pasaran modal akan runtuh.

“Dia nak kurangkan harga minyak, dari mana datangnya wang berkenaan?” katanya sambil menjelaskan itulah sebabnya Buku Jingga pembangkang tiada nilai.

Najib berkata, pembangkang tiada kredibiliti mentadbir negara, lebih-lebih lagi pakatan itu tidak penuhi prasyarat asas, termasuk tidak berdaftar sebagai parti, tiada simbol bersama dan tiada persefahaman dalam hudud, malah gagal menamakan Kabinet bayangan kerana takut.

Mana Kabinet bayangan?

“Sudah pasti (Lim) Kit Siang (Penasihat DAP) akan menuntut jawatan kanan. Nak bagi Kit Siang ( jawatan) apa?... Menteri Kewangan, Menteri Pendidikan? Haji Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang)? Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu) nak bagi jawatan apa... ada saranan Mat Sabu patut mendapat Menteri Wanita.

“Mengapa tidak buat (Kabinet bayangan)? Jangan cakap bentuk kerajaan, bentuk Kabinet bayangan dulu... tunjukkan itu adalah pasukan anda,” katanya.

Mengenai Bajet 2013, Najib berkata, sejajar mantera falsafah kerajaan mendahulukan rakyat, ia amat inklusif, merangkumi segenap lapisan masyarakat dengan mereka lemah dilindungi, yang kuat melindungi, yang muda disayangi, yang tua dihargai, yang memerlukan dibantu dan yang berpotensi diberi peluang. 
/hwa: bharian.com.my | 30/9/12

Tiada ulasan: