Tan Lian Hoe (tiga dari kanan)
bersama perwakilan lain mengangkat tangan tanda bersatu pada
Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan di Kuala Lumpur,
semalam.
*****
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Ketua Wanita Gerakan,
Datuk Tan Lian Hoe menggesa kepimpinan tertinggi parti itu menampilkan
muka baru sebagai calon pilihan raya umum akan datang serta sebagai
ketua di pelbagai peringkat.
Dengan cara itu katanya, Gerakan akan dilihat kembali 'hidup'
berbanding dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' seperti yang disifatkan
banyak pihak ketika ini.
"Kalau pemimpin sudah lama berada di tampuk pemerintahan atau di
bahagian tetapi ada orang baru yang berwibawa, kita perlu bagi platform,
supaya parti kita bernyawa lagi.
"Kita tidak mahu orang kata parti kita 'nyawa-nyawa ikan' hanya disebabkan warlord
dalam parti mahu berjaya dalam pemilihan parti dan mahu kawal parti
ini," katanya ketika Perbahasan Ucapan Presiden pada Persidangan
Perwakilan Nasional Parti Gerakan di sini hari ini.
Pada persidangan Gerakan tahun lalu, Lian Hoe yang terkenal sebagai
pemimpin bersuara lantang meminta Presiden, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon
tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang demi survival parti.
Dalam pada itu, Lian Hoe yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberitahu, Bajet 2013 yang
dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu
antara lain bertujuan mewujudkan keadaan '1Malaysia 1Harga'.
Katanya, program penyeragaman harga itu membolehkan kerajaan memberi
subsidi pengangkutan kepada syarikat perkapalan tempatan bagi
menyelaraskan harga barangan antara Semenanjung dengan Sabah dan
Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan