SHAH ALAM 30 Sept. - Umat Islam di negara ini
diingatkan supaya tidak terlalu taksub kepada pemimpin dan parti politik
yang mereka anggotai sehingga sanggup membiarkan perpecahan berlaku
semasa sendiri.
Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria menegaskan, mereka
boleh berbeza pendapat tetapi perlu dipastikan ia tidak menimbulkan
perselisihan faham dan memutuskan persaudaraan Islam yang menjadi
tonggak ajaran agama.
"Orang Melayu bergaduh dan bertelagah bukan kerana harta atau
perempuan tetapi demi untuk merebut kuasa sedangkan dulu orang Melayu
500 tahun dijajah mereka taksub kepada agama hingga terpaksa diberikan
kemerdekaan.
"(Sekarang) Oleh kerana kelemahahan kita dan ketinggalan dalam
ekonomi dan sebagainya, maka kita tidak berjaya dominasi ekonomi
sehingga menjadikan orang Melayu dan Islam terhimpit," katanya pada
program Himpunan ke arah Penyatuan Umat di Kompleks Taman Seni Islam
Selangor di sini hari ini.
Beliau yang pernah dikecam penyokong pembangkang kerana menggerakkan
usaha kerjasama politik Pas dan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-12
pada 2008 berkata demikian ketika menjadi panel sesi 'Bahaya
Ketaksuban'.
Bersama beliau sebagai panel pada sesi tersebut ialah Pengerusi Yayasan Darul Hanan, Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dasuki.
Forum dua hari yang berakhir hari ini dianjurkan oleh Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS).
Harussani berkata, masyarakat Islam di negara ini perlu bersatu jika
mereka tidak mahu diperhambakan selain perlu berusaha untuk menjadi
mereka yang profesional supaya dapat bersaing.
Beliau turut menegur sikap segelintir umat Islam yang lebih rela
berpecah semasa orang Islam yang didakwa tidak Islam sedangkan dalam
masa sama mengutamakan orang bukan Islam.
"Dulu cakap imam UMNO sembelih ayam haram, akhirnya ayam campak dalam
sungai tetapi kini orang Islam minum ke kedai kopi orang bukan Islam
tidak mengapa.
"Ini sebab fanatik dan taksub kepada pemimpin, dalam Islam boleh beza
pendapat tetapi tidak boleh taksub kepada parti," katanya.
Malah kata beliau, terdapat pemimpin parti bertaraf ulama mengatakan
berkawan dengan orang kafir lebih baik daripada berkawan dengan orang
Islam yang zalim.
"Sedangkan perkara itu tidak ada dalam Islam. Sekarang kita ada
masalah dalam soal kefahaman, kita perlu faham supaya yang dilakukan
selaras dengan ajaran Islam," katanya.
Sementara itu pada sesi 'Mencari Persamaan, Memahami Perbezaan', Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mengingatkan
umat Islam tentang perancangan untuk menggugat kedudukan umat Islam di
negara ini termasuk mengubah tonggak utama pembentukan negara seperti
kedudukan Islam sebagai agama rasmi.
Beliau berkata, pihak berkenaan menggunakan pendekatan yang disebut
sebagai 'garam dan ragi' iaitu memupuk dan melalaikan serta
memperkembangkan usaha untuk melahirkan orang Islam menjadi manusia
duniawi, gila jawatan, harta dan kuasa.
"Semua pihak perlu sedar perkara ini, malah telah pun berlaku ada
parti yang kononnya memperjuangkan Islam tapi dipergunakan oleh pihak
lain sehingga terpaksa akur dan diam," katanya.
Zulkifli berkata umat Islam di negara ini perlu terus bersatu kerana
Malaysia menjadi harapan negara-negara Islam yang lain dalam
memperjuangkan pelbagai isu membabitkan kepentingan umat Islam.
"Sebenarnya kita dilihat sebagai benteng terakhir oleh negara-negara
Islam di dunia. Kita menjadi harapan mereka (negara Islam lain) jika
kita hancur maka habis mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan