PULAU PINANG 3 Nov. - Undang-undang antilompat parti yang diluluskan
oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang disifatkan sebagai
petunjuk DAP tidak meyakini ahlinya sendiri.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Lim Boo Chang
berkata, undang-undang berkenaan sepatutnya tidak boleh dilulus dan
dilaksanakan kerana jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan
terhadap kebebasan ahli-ahli DUN serta Parlimen di negara ini.
Katanya, usul tersebut jelas menunjukkan permainan politik kotor dan niat jahat DAP dalam menafikan hak seorang ADUN.
"Mengapa hendak dihalang kebebasan ADUN dalam memilih parti yang
lebih diyakini? Mereka tidak boleh menyekat kebebasan tersebut," katanya
ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Khamis lalu, persidangan DUN meluluskan Perkara 14A Perlembagaan
Negeri yang memperuntukkan seorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya
jika melepaskan atau dilucutkan keahlian atau berhenti daripada menjadi
ahli parti politik yang diwakili.
Boo Chang yang juga bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Bukit Gelugor menambah, usul berkenaan juga menunjukkan wujudnya konflik
antara DAP dan PKR memandangkan penasihat PKR sendiri sebelum ini
mencanang menarik wakil-wakil rakyat Barisan Nasional.
"PKR sendiri ada menerima kemasukan ADUN BN dalam parti mereka, malah
Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri ada menguar-uarkan ingin
menarik kira-kira 30 wakil rakyat BN, jadi mengapa perlu peruntukan ini
diperkenalkan?
"Bukankah itu jelas menunjukkan DAP dan PKR tidak mempunyai kesepakatan dalam isu ini," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan