KUALA KANGSAR 3 Nov. - Cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya
parti pakatan pembangkang mengamalkan polisi 'satu calon, satu kerusi'
membuktikan mereka kini 'berperang' berhubung agihan kerusi pilihan
raya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, dasar itu
sudah menjadi amalan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama, kecuali di
beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.
"Setiap kali pilihan raya, kami tidak pernah melihat ini sebagai satu
masalah besar tetapi pembangkang kini sedang berperang," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Karnival Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak
2012 di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Karpal supaya wakil rakyat DAP yang
menyandang dua kerusi perlu memilih hanya satu kerusi untuk ditandingi
dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Dasar 'satu calon satu kerusi' yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen
Bukit Gelugor itu bagaimanapun mendapat bantahan beberapa pemimpin DAP.
Zambry berkata, soal calon bertanding dua kerusi menjadi masalah
dalaman DAP, termasuk di Perak apabila Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh
Koo Ham dan Setiausahanya, Nga Kor Ming menyandang dua kerusi.
Katanya, Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga menyandang dua kerusi.
"Kita tahu kenapa perkara ini menjadi huru-hara termasuk di Perak.
Kita kena tanya 'tiga beradik' atau 'tiga N' iaitu Nizar, Ngeh dan Nga,"
katanya.
Katanya, wakil rakyat yang menyandang dua kerusi tidak dapat
menjalankan tugas dengan baik terutamanya apabila terpaksa memilih
menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat.
"Kita dapat menyaksikan kadang-kadang dia datang tunjuk muka sekali
sahaja dan lepas itu dia tidak datang lagi. Kita hendak komen lebih pun
nanti dia kata ada tanggungjawab lebih besar. Jadi, dia kena fikirlah
tanggungjawab yang mana satu lebih besar," katanya.
Sementara itu, mengulas kesediaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kerusi
Parlimen Pekan dalam pilihan raya umum akan datang, Zambry berkata,
perkara tersebut hanya gimik politik pembangkang.
"Mereka cabar sebab hendak tunjukkan kononnya mereka lebih popular
daripada Perdana Menteri. Tak apalah, dia hendak lawan, lawanlah. Kita
tengok siapa lebih popular," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan