BERDASARKAN rekod terkini Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR), pengundi muda dalam kategori lingkungan umur 21 hingga
39 tahun - telah mencecah angka 5.2 juta orang . Ini menjadikan
golongan orang muda sebagai kelompok penting yang perlu diberi
perhatian kerana ia berkait rapat dengan masa depan negara.
Dari segi statistik, pengundi yang berumur 21 hingga 29 tahun
mencatatkan jumlah 2.3 juta orang . Ini bermakna golongan yang
berusia di bawah 30 tahun semakin ramai. Adakah angka pengundi muda
ini tanda penentu sosial dan politik negara? Wartawan Mingguan Malaysia,
RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH mewawancara Yang Dipertua Majlis
Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap
Setiausaha Agong Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), KU AMIRUL
FAIZ KU SEMAN mengenai perkara ini.
MINGGUAN: Sebagai mahasiswa, bagaimana pemahaman anda terhadap demokrasi?
KU AMIRUL: Demokrasi merupakan sistem terbaik untuk memilih pemimpin.
Di peringkat universiti, sistem ini digunapakai bermula dengan kelab
kecil sehinggalah pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Mahasiswa
dilihat semakin sedar dan peka terhadap sistem demokrasi di kampus.
Sistem pilihan raya kampus memberi peluang mahasiswa terlibat dalam
sistem demokrasi. Mereka kena menerima hakikat inilah sistem kita.
Begitu juga di peringkat kebangsaan, mahasiswa dan orang muda sudah
faham bagaimana demokrasi berfungsi. Mereka tahu jika tidak mengundi
dalam pilihan raya, mereka tidak dapat membuat pilihan dan perubahan
untuk masyarakat dan negara. Walaupun begitu, ada setengah pihak gagal
menafsirkan makna demokrasi. Sebenarnya, sistem itu murni tetapi
persepsi setengah pihak menganggap seolah-olah sistem itu dikawal dan
tidak berfungsi.
Boleh anda jelaskan aspirasi orang muda masa kini?
KU AMIRUL: Aspirasi orang muda adalah mudah iaitu kami mahu pemimpin
yang dapat membantu menyelesaikan masalah kami. Sebab itulah diwujudkan
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam MPPK, kami
bebas bercakap mengenai pelbagai isu, dari mahasiswa, masyarakat
hinggalah negara. Kad diskaun mahasiswa misalnya, terhasil daripada
perundingan MPKK. Mahasiswa memerlukan platform dan platform itu
disediakan kerajaan. Maka kita perlu gunakan dengan sebaiknya.
Golongan mahasiswa dilihat sering memperjuangkan hak kebebasan bersuara. Apakah pendapat anda mengenai isu ini?
KU AMIRUL: Hak ini penting tetapi kita perlu kebebasan yang beradab.
Maknanya kita bebas untuk mengekspresikan pendapat kita tetapi perlu
tahu caranya. Kita perlu berfikir apa yang kita cakap sama ada boleh
atau tidak. Undang-undang yang diwujudkan bukan bertujuan mengawal atau
menghalang orang muda bersuara. Sebaliknya penting untuk menjaga
keharmonian dalam banyak perkara. Orang muda perlu tahu setiap hak itu
diiringi dengan tanggungjawab. Hak bersuara perlu disampaikan dengan
cara yang baik, diplomasi dan intelektual. Mahasiswa perlu menyuarakan
pendapat berdasarkan fakta dan bukannya dan emosi. Kita tidak perlu
menyuarakan hak di jalanan yang belum tentu memberi impak yang besar.
Wajarkah golongan mahasiswa terlibat dalam politik?
KU AMIRUL: Akta Kolej dan Universiti (AUKU) sekarang sudah
membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik di luar kampus. Tetapi
mereka perlu natural semasa dalam kampus. Bagi saya, semua
bergantung kepada diri sendiri. Tidak dinafikan berpolitik boleh
meningkat kemahiran sosial. Tetapi jangan lupa tujuan mahasiswa ke
kampus ialah menuntut ilmu. Apa yang saya risau sekarang ialah
ketaksuban mahasiswa berpolitik ini boleh memecah-belahkan mahasiswa
sendiri. Jika mereka boleh berfikir secara rasional, keadaan boleh
terkawal kerana kita boleh hidup bersama walaupun berbeza pendapat.
Ada golongan muda berpendapat politik sekarang kotor sehinggakan mereka tidak mahu mengambil tahu. Apa komen anda?
KU AMIRUL: Kotor atau tidak bergantung pada permainan politik itu
sendiri. Orang mudalah yang perlu mengubah situasi ini. Untuk mengubah
mereka kena mengambil tahu aspirasi kebangsaan dan peka isu sosial dan
politik. Kita orang muda wakil kepada aspirasi kebangsaan, bukannya
kepada kumpulan tertentu. Itulah peranan orang muda dalam pilihan raya.
Orang muda merupakan komposisi pengundi yang agak besar kali ini. Mahu
tak mahu, kita kena buat pilihan yang baik. Memilih pemimpin terbaik
untuk meneruskan aspirasi kebangsaan. Pada pandangan saya, politik kita
bukan seperti politik Amerika, politik kita lahir daripada gagasan
sejarah.
Bagaimana pemimpin yang dikehendaki orang muda?
KU AMIRUL: Kami mahukan pemimpin 'berjiwa muda' bukan dari segi
penampilan fizikal semata tetapi juga cara berfikir. Mereka perlu
mengambil berat tentang kebajikan orang muda. Saya berminat dengan
kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sekarang bukan
zaman untuk kerajaan tahu semuanya, tetapi sekarang ini satu zaman
rakyat kena beritahu apa yang mereka perlukan. Bukan senang mencari
pemimpin seperti beliau yang boleh mendengar rasa hati orang muda dan
boleh duduk bersama tanpa protokol. Pemimpin macam ini yang orang muda
mahukan. Selain dekat dengan orang muda, beliau mengambil inisiatif
turun ke akar umbi untuk mendengar permasalahan rakyat.
Apa pandangan anda tentang perbalahan yang wujud dalam politik?
KU AMIRUL: Sejujurnya, kami sudah muak melihat perbalahan. Tuduh
menuduh yang dilontarkan lebih kepada fitnah bukan fakta. Mahasiswa
memerlukan parti politik yang menjuruskan kepada perdebatan intelektual.
Masalahnya, ada yang berani di pentas menaburkan fitnah untuk
menjatuhkan pihak lawan. Kami mahasiswa diasuh pertarungan idea dan
intelektual.
Bagaimana untuk menyedarkan mahasiswa dan orang muda tentang peranan mereka dalam sosial dan politik negara?
KU AMIRUL: Mahasiswa perlu dididik tentang integriti pemikiran.
Golongan ini perlu menilai sumber yang sahih bukan merujuk kepada
sesetengah media alternatif yang banyak mengetengahkan laporan yang
tidak tepat dan tidak beretika. Rujuklah kepada media arus perdana yang
terbukti mempunyai kredibiliti dan integriti. Untuk mengubah permainan
politik, mahasiswa dan orang muda perlu mengubah cara berfikir dan
jangan terpengaruh dengan sekian banyak persepsi yang mempunyai tujuan
tertentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan