BANYAK ranjau yang ditempuhi penulis
sebelum berjaya mewawancara tokoh pejuang Bangsamoro yang dianggap
legenda oleh penduduk di Cotabanto, Selatan Filipina. Sebelum bertemu
dengannya terbayang di fikiran wajahnya mungkin bengis dan tegas, namun
sebaik bertemu Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), HAJI
MURAD EBRAHIM segalanya berbeza.
Tutur katanya lembut, wajahnya terpancar ketenangan, malah wawancara
kami dikejutkan dengan ketibaan mengejut salah seorang cucunya yang
tampil menerpa memeluknya. Namun beliau membalas mengucup mesra cucunya
dan memintanya meninggalkannya dengan lembut sambil ketawa.
Semua gerak-gerinya itu langsung tidak menunjukkan perwatakannya yang memimpin dan berjuang mengangkat senjata menegakkan Islam selama lebih 40 tahun bersama MILF.
Terserlah kewibawaannya sebagai pemimpin dan tokoh Islam di Selatan Filipina walaupun pada satu ketika Murad tinggal satu semester sahaja untuk menamatkan pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Notre Dame, Cotabato.
Namun beliau memilih untuk berjuang untuk Islam, meniti pengalaman berjuang untuk kesejahteraan umat Muslim di tanah airnya sendiri.
Dalam kalangan anggotanya beliau terkenal sebagai tokoh yang mempunyai strategi ketenteraan yang hebat, sangat jarang bersuara, dihormati dan menunjukkan contoh kepimpinan berintegriti.
Dan kini beliau berjaya membawa harapan dan inspirasi baru kepada masyarakat Bangsamoro dengan termeterai Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro pada pada 15 Oktober lalu. Kepada Wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID dan jurugambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM yang berpeluang mewawancaranya di Kem Darapanan, Cotabato pada Rabu lepas, Murad berulang kali mengucapkan penghargaan kepada Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak atas usaha dan komitmen tanpa berbelah bagi membantu merealisasikan peluang untuk keamanan Bangsamoro.
Selain itu beliau juga turut memberi pandangan mengenai beberapa isu antaranya Selatan Thailand, bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi selain pembangunan yang bakal dilakukan.
Semua gerak-gerinya itu langsung tidak menunjukkan perwatakannya yang memimpin dan berjuang mengangkat senjata menegakkan Islam selama lebih 40 tahun bersama MILF.
Terserlah kewibawaannya sebagai pemimpin dan tokoh Islam di Selatan Filipina walaupun pada satu ketika Murad tinggal satu semester sahaja untuk menamatkan pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Notre Dame, Cotabato.
Namun beliau memilih untuk berjuang untuk Islam, meniti pengalaman berjuang untuk kesejahteraan umat Muslim di tanah airnya sendiri.
Dalam kalangan anggotanya beliau terkenal sebagai tokoh yang mempunyai strategi ketenteraan yang hebat, sangat jarang bersuara, dihormati dan menunjukkan contoh kepimpinan berintegriti.
Dan kini beliau berjaya membawa harapan dan inspirasi baru kepada masyarakat Bangsamoro dengan termeterai Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro pada pada 15 Oktober lalu. Kepada Wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID dan jurugambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM yang berpeluang mewawancaranya di Kem Darapanan, Cotabato pada Rabu lepas, Murad berulang kali mengucapkan penghargaan kepada Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak atas usaha dan komitmen tanpa berbelah bagi membantu merealisasikan peluang untuk keamanan Bangsamoro.
Selain itu beliau juga turut memberi pandangan mengenai beberapa isu antaranya Selatan Thailand, bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi selain pembangunan yang bakal dilakukan.
MINGGUAN: Bagaimana anda melihat peranan Malaysia dalam membantu menjayakan perjanjian ini?
MURAD: Saya sangat berbangga dengan peranan Malaysia dalam merangka
perjanjian di antara Bangsamoro dan kerajaan Filipina kerana kerajaan
anda banyak membantu secara konsisten sejak dari awal lagi. Malah
Malaysia telah memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada
Bangsamoro sejak sekian lama, semasa kami dikenali sebagai MNLF. Kini
sejak bertukar kepimpinan dan dikenali sebagai MILF, Malaysia merupakan
negara yang paling menyokong perjanjian damai dan menjadi fasilitator
kepada kedua-dua pihak dan akhirnya, Alhamdulillah kami berjaya. Kami
juga ingin menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat
sehingga tercapainya perjanjian ini.
Apakah anda melihat Presiden Filipina sekarang, benar-benar ikhlas dalam menjadikan perjanjian ini satu kenyataan?
MURAD: Jika kita lihat sebelum ini kerajaan Filipina sebenarnya
berunding dengan pihak pemberontak. Namun saya melihat pihak kerajaan
sebelum ini sebenarnya hanya berniat untuk membendung masalah dan bukan
menyelesaikannya. Mereka hanya berunding untuk mengawal situasi dan itu
sebabnya bila kami memulakan rundingan dengan kerajaan sekarang, kami
senantiasa menekankan supaya sudah sampai masanya kerajaan bertindak
menyelesaikan masalah. Setelah lebih dua tahun berunding dengan
kepimpinan sekarang, akhirnya Perjanjian Rangka Kerja Mengenai
Bangsamoro berjaya dimeterai. Kami sangat yakin dengan janji dan
kehendak politik Presiden Benigno Aquino yang tinggi dalam menyelesaikan
perkara ini. Kami sangat berharap beliau akan terus kekal dengan janji
yang telah dinyatakan sehinggalah perjanjian menyeluruh ditandatangani
dan dilaksanakan. Saya dapat melihat keikhlasan pada dirinya dalam
menjayakan perjanjian ini dan akhirnya menjadikan harapan Bangsamoro
untuk mendapat kehidupan yang lebih baik tercapai.
Anda sedia maklum bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang
terdiri dari pelbagai kaum namun dapat hidup bersama dalam aman damai.
Apakah anda melihat Malaysia mampu menjadi model yang baik dalam
membangunkan wilayah Bangsamoro?
MURAD: Itu adalah satu persamaan antara Malaysia dan Bangsamoro.
Namun sebenarnya di sini terdapat pelbagai etnik dan bukannya kaum
termasuklah penganut-penganut agama lain. Malaysia sememangnya akan
dilihat sebagai model terbaik dan beberapa perkara akan dijadikan contoh
dalam membangunkan wilayah Bangsamoro terutama dalam membangunkan model
ekonomi dan sosial. Bagaimanapun kami tidaklah akan meniru semua yang
dilakukan Malaysia dalam proses pembangunan mereka kerana dalam banyak
hal tidak semuanya sesuai untuk dilaksanakan di sini. Namun ia tetap
boleh menjadi satu model dan juga contoh baik kepada kami.
Apa pandangan anda tentang tindakan Nur Misuari yang kebelakangan ini
menentang serta mengkritik usaha Perjanjian Rangka Kerja Bangsamoro?
MURAD: Kami sememangnya berasa sedih dengan tindakan yang dilakukan
Nur Misuari kerana beliau merupakan seorang pemimpin Bangsamoro dan
pernah terlibat bersama kami berjuang menegakkan Islam. Apa yang kami
tidak faham adalah kenapa beliau menentang apabila kami berjaya mencapai
sesuatu yang membawa kebaikan serta disokong oleh hampir semua pihak.
Namun kami masih berharap beliau boleh bekerjasama dengan kami mungkin
selepas kami mengadakan dialog bersama ataupun melalui usahasama melalui
OIC. Ini kerana Nur Misuari lebih mendengar pandangan OIC dan jika
pertubuhan itu boleh memberi nasihat supaya berbaik-baik dengan kami
mungkin, Insya Allah beliau akan berubah sikap.
Walaupun majoriti di sini adalah beragama Islam, tetapi terdapat juga
mereka yang beragama Kristian dan lain-lain. Bagaimana dengan kedudukan
mereka selepas ini?
MURAD: Jika anda melihat perjanjian rangka kerja Bangsamoro, kerajaan
yang bakal ditubuhkan bukan hanya eksklusif kepada MILF. Ia terbuka
kepada semua Bangsamoro kerana apa yang berlegar di fikiran kami, apa
yang akan dilakukan adalah benar-benar untuk kebaikan semua bangsa kami
dan bukannya hanya untuk sesetengah pihak sahaja. Ia terbuka untuk
proses demokrasi sehingga ia terlaksana seawal-awalnya pada 2016. Semua
pihak boleh bertanding untuk jawatan di dalam kerajaan selaras dengan
proses demokrasi itu sendiri. Pihak MILF hanya akan memegang kuasa
semasa proses transisi sahaja dan kemudian apabila semuanya selesai,
urusan politik akan ditentukan oleh rakyat Bangsamoro sendiri. Ketika
itu MILF mungkin akan hanya bertindak sebagai pergerakan Islam sahaja
untuk memenuhi ideologi yang dimahukan masyarakat.
Bagaimanapun pada tahap sekarang kami masih lagi dalam proses
mendalami segala keperluan untuk menjayakan perjanjian ini. Adalah
diharapkan sesetengah perkara dapat diselesaikan dalam tahun ini juga.
Dari situ kami akan menubuhkan satu suruhanjaya transisi yang akan
merangka satu undang-undang asas yang bertindak kemudian sebagai satu
undang-undang akan digunapakai oleh kerajaan Bangsamoro. Selepas itu ia
akan diperjelas dan diratifikasikan kepada masyarakat. Kemudian ia akan
dibentangkan di Kongres sebelum dijadikan undang-undang. Selepas
semuanya tercapai akan berlaku perubahan kepimpinan kepada kerajaan
sementara yang diharapkan berlaku antara tahun 2013 atau 2014. Jika
semua ini mampu dilaksanakan Insya Allah pilihan raya akan dilangsungkan
dan kemudian sebuah kerajaan tempatan akan ditubuhkan.
Apakah perkara pertama yang akan ditumpukan oleh kerajaan sementara yang dipimpin oleh MILF?
MURAD: Insya Allah pertamanya kami akan melakukan perkara-perkara
yang dilihat oleh masyarakat di sini bahawa satu perubahan yang baru dan
meyakinkan akan berlaku. Mungkin ia lebih melibatkan soal pemulihan
terutamanya perkara-perkara asas kepada masyarakat. Antaranya mungkin
projek-projek yang memberi kesan terus kepada masyarakat seperti
membangunkan infrastruktur yang sangat diperlukan mereka. Kami
sememangnya telah memikirkan perkara ini kerana kami mahu masyarakat
merasai bahawa satu perkara baru dan baik akan berlaku untuk mereka. Ini
kerana sebelum ini pernah berlaku proses perjanjian damai yang boleh
menjadi asas untuk masa depan yang lebih baik iaitu sekitar tahun
1970-an dan 1990-an. Ketika itu semua orang memberikan harapan yang
tinggi namun akhirnya tidak ada perkara yang berubah dan ia meninggalkan
kesan mendalam kepada masyarakat. Oleh itu adalah penting untuk kami
melakukan perubahan yang boleh dilihat oleh masyarakat. Kami akan
meminta bantuan antarabangsa termasuk Malaysia dalam program-program
pembangunan untuk memberi kehidupan lebih berkualiti kepada masyarakat.
Bagaimana anda melihat apa yang berlaku terhadap bekas pemimpin
Libya, Muammar Gaddafi kerana sebelum ini pihak MILF mempunyai hubungan
yang rapat dengannya?
MURAD: Kami sedar bahawa sekarang telah berlaku perubahan terutama di
dunia Arab seperti yang berlaku terhadap Gaddafi, Mesir dan Tunisia
berikutan kebangkitan rakyat. Kita boleh lihat pergerakan yang lebih
sederhana mula mengambil tempat di negara-negara berkenaan dan bukan
lagi melibatkan pemimpin diktator. Bagi kami perkara ini juga memberi
inspirasi apa yang terbaik untuk dilakukan. Sebelum ini pergerakan kami
lebih ditonjolkan sebagai kumpulan militan dan sebagainya. Apabila kami
memulakan rundingan dengan kerajaan melalui usaha yang dilakukan
Malaysia, kami telah mengambil langkah bertindak sederhana. Ini
sebenarnya satu keperluan untuk bersikap lebih pragmatik dan
bersederhana berikutan apa yang berlaku di kebanyakan negara-negara
Arab. Kami melihat apa yang berlaku terhadap Gaddafi adalah kerana sikap
beliau yang tidak mahu berubah mengikut perubahan yang dimahukan
rakyat. Beliau masih lagi berpendirian bahawa dirinya masih lagi
berkuasa dan memerintah untuk selamanya. Ini adalah kesilapan sebenar
dirinya dan akibatnya beliau telah diperlakukan sedemikian oleh
rakyatnya sendiri. Namun kami tetap bersedih dengan apa yang berlaku
kerana beliau memberi sokongan penuh kepada perjuangan kami selama ini
namun bukan kepada MILF tetapi MNLF sejak awal tahun 1970-an lagi. Namun
akhirnya beliau menjadi mangsa kepada kehendak rakyat yang melihat
perubahan yang berlaku di dunia Arab.
Apakah anda melihat Malaysia sebagai contoh terbaik sebuah negara Islam yang sederhana di peringkat antarabangsa?
MURAD: Saya melihat Malaysia adalah sebuah negara yang telah
bertindak lebih baik sebagai sebuah negara Islam yang sederhana
berbanding negara-negara Islam lain. Dalam banyak perkara mungkin kami
boleh memilih langkah-langkah Malaysia. Namun bagi kami adalah sukar
untuk Bangsamoro mengikut sepenuhnya model Malaysia kerana kami juga
berbeza berbanding Malaysia. Sudah tentu kami perlu melihat keadaan di
tempat kami yang masih banyak kekurangan dan sangat berbeza berbanding
Malaysia. Namun dalam banyak sudut kami masih melihat Malaysia sebagai
model terbaik dan sumber inspirasi untuk kami melangkah ke hadapan. Ini
kerana Malaysia berjaya membangun dalam masa yang sangat singkat dan
perkara ini yang kami harap dapat dilakukan di Bangsamoro.
Bagaimana dengan undang-undang Syariah? Apakah ia akan dilaksanakan?
MURAD: Bagi masyarakat Muslim ia sememangnya telah dilaksanakan
kerana kami sudah pun mempunyai Mahkamah Syariah. Namun ia akan
diperkukuhkan kerana ketika ini ia hanya mencakupi undang-undang
berkaitan kehilangan barangan peribadi dan soal wasiat sahaja. Kami juga
mempunyai mahkamah sivil yang dilaksanakan terhadap kebanyakan
masyarakat. Namun kami berharap taraf Mahkamah Syariah dapat
ditingkatkan supaya setanding dengan Mahkamah Sivil. Adalah sedikit
sukar untuk melaksanakan undang-undang syariah sepenuhnya kerana kami
juga mempunyai rakyat bukan Islam. Namun kami menyerahkan kepada rakyat
untuk memilih yang terbaik untuk mereka. Ini adalah hak dan keputusan
mereka sendiri.
Jika segalanya berjaya dilaksanakan, sudah tentu ia akan mengambil
masa yang lama untuk proses pembangunan dan sebagainya mungkin sekitar
10 hingga 20 tahun. Apakah pengisian yang akan dilakukan kerana
hakikatnya untuk mengisi kemerdekaan itu adalah lebih sukar dari
kemerdekaan itu sendiri?
MURAD: Kami melihat perkara ini sebagai satu langkah yang mencabar.
Ini kerana masyarakat mengharapkan perubahan bakal berlaku. Sudah tentu
perubahan tidak akan berlaku dalam sekelip mata dan ia akan memakan
masa. Namun kami perlu melakukan perubahan untuk menunjukkan kepada
masyarakat di sini bahawa perjanjian yang dilakukan ini benar-benar akan
membawa perubahan yang lebih baik. Sudah tentu sikap kerajaan serta
bantuan antarabangsa adalah penting untuk pembangunan di wilayah ini.
Banyak perkara perlu dilakukan untuk membawa perubahan di wilayah ini
yang telah bergolak sejak sekian lama. Memang banyak perkara yang perlu
dilakukan termasuk dalam jangka masa panjang dan kami akan memikirkan
perkara itu untuk kebaikan jangkamasa panjang. Namun yang penting ketika
ini adalah menumpukan perkara asas untuk masyarakat dan kemudian
berbincang dengan semua pihak apa yang terbaik untuk kami dalam
jangkamasa panjang supaya keamanan ini kekal selama-lamanya.
Apa yang akan berlaku kepada MILF selepas semuanya selesai. Apakah
MILF akan bertukar kepada sebuah parti politik atau ada perancangan
lain?
MURAD: Kami ada beberapa pilihan salah satunya adalah MILF akan
menjadi sebuah parti politik. Pilihan lain adalah MILF mungkin akan
mengekalkan kedudukannya sebagai sebuah pertubuhan Islam di Filipina
yang kemudiannya akan menubuhkan sebuah parti politik. Namun ia masih
belum diputuskan dan mungkin dalam masa terdekat kami akan membuat
keputusan mengenainya. Kami akan membuat keputusan yang terbaik untuk
masa depan MILF namun yang penting ketika ini adalah masa depan
Bangsamoro itu sendiri.
Jika kita lihat kepada perjanjian ini ia mengambil masa sehingga 2016
untuk dilaksanakan sepenuhnya. Bagaimana jika kerajaan sekarang
bertukar dan Presiden terdiri dari orang baru. Apakah tidak mustahil
Presiden baru ini nanti akan bertukar pendirian?
MURAD: Kami berkongsi pendirian yang sama dengan Presiden Benigno
Aquino bahawa semua ini perlu diselesaikan semasa pemerintahan beliau.
Ini kerana terdapat kemungkinan untuk berlaku sesuatu yang tidak
diingini melibatkan presiden baru yang tidak bersetuju dengan perjanjian
damai. Ini sudah tentu akan menimbulkan masalah. Kini kami sedang
melihat agar proses peralihan kuasa nanti berjalan dengan baik tanpa
masalah. Itu sebabnya kami bersetuju supaya kerajaan peralihan ini hanya
bertahan selama tiga tahun iaitu antara 2013 hingga 2016. Dalam tempoh
itu diharap semuanya akan berjalan lancar dan pada tahun 2016. Insya
Allah selepas itu satu pilihan raya yang bebas akan diadakan untuk
memberi ruang kepada demokrasi sebenar.
Mungkin anda mempunyai nasihat kepada masyarakat Islam di Selatan Thailand yang berkongsi masalah seperti Bangsamoro?
MURAD: Bangsamoro sememangnya bersimpati dengan mereka kerana kami
berkongsi perasaan dan perjuangan yang sama sejak sekian lama. Namun
saya berharap agar mereka memberi peluang untuk proses keamanan. Secara
umumnya kami adalah minoriti di sebuah negara yang majoriti
masyarakatnya tidak beragama Islam dan begitu juga di Selatan Thailand.
Saya melihat adalah penting bagi kami untuk menggalakkan masyarakat
Islam di Selatan Thailand supaya mengkaji dan memahami apa yang berlaku
melalui perjanjian yang telah dimeterai baru-baru ini. Mungkin mereka
boleh melihat sendiri kehidupan kami di sini yang berbilang etnik dan
kami boleh membantu apa yang terdaya. Memang mereka tidak boleh
mengambil kesemua contoh yang berlaku di sini untuk diadaptasi dengan
kehidupan mereka kerana keadaan sudah tentu berbeza. Saya melihat mereka
tidak mempunyai sebuah organisasi yang kuat untuk menyokong perjuangan
mereka mengakibatkan terbahagi kepada beberapa kumpulan. Itu adalah
antara punca utama. Bagi saya sangat penting untuk mereka menubuhkan
satu kumpulan yang kuat dan bersatu padu yang boleh menjadi wakil untuk
semua. Ini penting kerana peluang untuk keamanan perlu bermula dari satu
kumpulan yang bersatu dan kemudiannya mampu menjadi pembawa harapan
untuk kedamaian kepada semua pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan