PILIHAN Raya Umum Ke-13 dianggap perjuangan terakhir untuk beberapa
pemimpin tertinggi Pas. Selain Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, turut
dianggap berada dalam usia senja untuk terus bergelumang dalam arena
politik ialah Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ketika ini kedua-dua mereka terutamanya Nik Abdul Aziz dianggap
tonggak utama parti itu. Pengaruh Menteri Besar Kelantan tersebut
dilihat banyak mencorakkan perjalanan politik Pas.
Bagaimanapun perjalanan politik Pas dari semasa ke semasa tidak lagi
memungkinkan ulama menjadi pilihan ahli-ahli parti itu untuk memegang
teraju utama kepimpinan.
Berikutan itu pilihan raya umum akan datang dikatakan akan menjadi
medan kepada Pas untuk mengatur barisan kepimpinan masa depan parti itu
tanpa menjadikan latar belakang seseorang itu ulama atau profesional
sebagai sandaran.
Apa yang paling penting bagi Pas ialah mengatur satu barisan
kepimpinan yang dilihat mampu bersama-sama menerajui negara jika pakatan
pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.
Tumpuan utama sudah pastilah diberikan kepada penyandang jawatan
tertinggi atau kanan dalam parti itu seperti kedudukan Timbalan Presiden
dan Naib Presiden.
Pemilihan Mohamad Sabu atau Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden dengan
diperkuatkan lagi oleh tiga naib presiden yang bukan daripada golongan
ulama sudah menunjukkan hasrat ahli-ahli Pas untuk mengubah corak
kepimpinan parti berkenaan.
Justeru mahu tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa mereka
yang dipilih oleh ahli-ahli Pas adalah pemimpin masa depan parti itu
termasuklah Mat Sabu.
Biarpun ramai yang melihat kemenangan Mat Sabu dalam pemilihan lalu
kerana berlaku perpecahan undi berikutan penyertaan dua calon daripada
golongan ulama iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nasharudin Mat Isa,
namun yang pasti Mat Sabu menjadi pilihan ahli-ahli Pas.
Walaupun tidak menjadi Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan
Negeri namun Mat Sabu dianggap salah seorang pemimpin berpengaruh dalam
Pas.
Ceramah-ceramahnya sentiasa dihadiri oleh ribuan orang dan beliau
dianggap penarik kepada orang ramai untuk menghadiri ceramah Pas.
Selain itu hubungan rapat beliau dengan pemimpin-pemimpin Parti
Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dikatakan satu kelebihan dalam usaha Pas
memperkukuhkan hubungan dalam pakatan pembangkang.
Oleh itu ramai pemerhati politik melihat tiada cacat celanya jika Mat
Sabu terus berada dalam kepimpinan tertinggi Pas termasuk menggantikan
Abdul Hadi.
Memang benar Mat Sabu bukan seorang ulama tetapi beliaulah salah
seorang yang bertanggungjawab memperkasakan kepimpinan ulama dalam Pas
ketika berada dalam Dewan Pemuda Pas pusat dahulu.
Justeru kehadiran Mat Sabu tidak boleh dilihat boleh menggugat atau
menjejaskan kepimpinan ulama kerana pemimpin-pemimpin Pas sendiri dalam
banyak kenyataan tetap mempertahankan bahawa ulama masih berkuasa
memandangkan adanya Majlis Syura Ulama yang mempunyai kuasa pemutus
terhadap perjalanan politik parti itu.
Mungkin ada yang melihat Mat Sabu tidak sesuai menjadi pemimpin utama
Pas kerana beliau bukan ulama tetapi kita harus ingat beliau berada
pada kedudukan sekarang bukan melalui pelantikan tetapi pemilihan.
Ia bermakna ahli-ahli Pas mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap beliau untuk menjadi pemimpin masa depan parti itu.
Dari segi rekod perjalanan politik, ada yang berpendapat Mat Sabu
lebih hebat berbanding sesetengah ulama dalam Pas kerana selain bermula
daripada bawah, Mat Sabu sudah dua kali ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana perjuangan politiknya.
Selain Mat Sabu, turut dilihat mampu menjadi pemimpin masa depan Pas
ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar. Di Kedah, beliau
disebut-sebut bakal menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai
Menteri Besar, sekiranya Pas terus memerintah negeri itu.
Kredibiliti Mahfuz di peringkat pusat dan sentiasa sahaja dilihat ke
depan dalam pelbagai isu telah memberikan keyakinan kepada ahli-ahli Pas
untuk meletakkan Mahfuz sebagai pemimpin masa depan Pas.
Di Selangor pula, kelantangan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad
sering mendapat perhatian. Beliau juga dikatakan lebih menonjol
berbanding pemimpin-pemimpin Pas lain di negeri itu.
Sikap Khalid yang sentiasa berani menyatakan pendiriannya dalam
sesuatu isu turut membolehkan beliau dilihat pemimpin yang harus
diberikan perhatian oleh ahli-ahli Pas.
Bagaimanapun tumpuan juga harus diberikan kepada Salahudin Ayub yang kini diberi tugas khas oleh Pas untuk menawan Johor.
Walaupun menjalankan tugas dengan cemerlang di kawasan Parlimen
tersebut di Kelantan namun ia masih belum mencukupi memandangkan sudah
ada ura-ura Pas Kelantan ingin meletakkan calon dalam kalangan anak
tempatan untuk bertanding di semua kerusi di negeri itu.
Bagaimanapun Kelantan dijangka meneruskan tradisi kepimpinan ulamanya
selepas Nik Abdul Aziz berundur. Ia berikutan kenyataan Timbalan
Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah yang menegaskan
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakcob yang juga seorang ulama
paling sesuai menggantikan Nik Abdul Aziz.
Namun begitu Mohd. Amar juga dilihat pemimpin masa depan Pas Kelantan
kerana dalam kalangan ulama, beliau dikatakan mempunyai potensi untuk
menggantikan kedudukan Nik Abdul Aziz atau Ahmad Yakcob.
Di Terengganu pula, Pas negeri itu tidak ada masalah kerana Pesuruhjayanya, Mohd.Wahid Endut dianggap calon paling layak.
Secara keseluruhannya, jika dikaji kepimpinan Pas sama ada di
peringkat pusat mahupun negeri-negeri sudah jelas membuktikan bahawa
pemimpin-pemimpin daripada golongan profesional kini menjadi sandaran
utama untuk menjadi pemimpin masa depan Pas.
Walaupun di dalam Pas ada pemimpin-pemimpin muda bertaraf ulama
termasuk Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan dan Timbalannya,
Nik Abduh Nik Aziz namun mereka dikatakan masih belum mempunyai aura
untuk diketengahkan sebagai pemimpin-pemimpin utama.
Sebab itulah dalam kalangan penyokong Pas sendiri yang dihubungi oleh
penulis percaya pemilihan calon dalam pilihan raya umum nanti adalah
gambaran corak masa depan kepimpinan Pas.
Selain itu, sudah tentulah dalam usaha Pas memburu undi kaum bukan
Melayu, parti itu tidak akan menyenaraikan terlalu ramai calon bertaraf
ulama kerana kerjasama dengan PKR dan DAP memerlukan mereka membuat
sedikit penyesuaian.
Lagi pun tiada apa yang perlu dirisaukan oleh penyokong Pas kerana
Abdul Hadi sendiri sudah mengiktiraf semua calon yang terpilih dalam
pemilihan lalu adalah barisan pilihan raya.
Dan Abdul Hadi juga menyatakan Pas sudah menyampaikan persefahaman dengan DAP berhubung perjuangan Islamnya.
Oleh itu, sama ada ulama atau tidak sudah tidak penting lagi kerana
apa yang lebih utama ialah memiliki satu barisan kepimpinan yang mampu
bekerjasama dengan PKR dan DAP mencapai impian menumbangkan kerajaan
Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Bukankah itu matlamat Pas selama ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan