ISTILAH 'liberalisme' pertama kali digunakan untuk mendefinisikan
ideologi politik di Eropah pada akhir abad ke-19. Sebagai satu ideologi
politik, liberalisme tidak mempunyai sebarang definasi yang tepat
walaupun konsep liberalisasi ini menekankan kepentingan toleransi, hak
individu dan kebebasan bagi menjamin corak kehidupan pluralisme.
Konsep 'liberalisme' dan 'pluralisme' yang diperbahaskan oleh
ahli-ahli falsafah Barat mempunyai kaitan dengan permasalahan agama dan
politik yang wujud di negara barat.
Konsep 'liberalisme' ini mula dibicarakan ketika berlaku peristiwa
reformasi di Eropah dalam abad ke-16. Ketika ini gerakan untuk reformasi
keseluruhan institusi gereja di Eropah mendapat sokongan masyarakat
akibat daripada kelemahan sistem pengurusan dan pentadbiran gereja.
Masyarakat menuntut kebebasan daripada cengkaman gereja yang mempunyai
kuasa untuk memungut cukai daripada rakyat dan penglibatan mereka dalam
urusan politik negara. Hasil reformasi itu gereja dipisahkan daripada
urusan politik dan kenegaraan.
Di antara isu-isu yang dibahaskan oleh ahli falsafah Barat berkaitan
'liberalisme ' adalah kebebasan bisikan hati mengenai agama dan
kebebasan pendapat atau fikiran berkaitan dengan urusan lain. Mereka
juga membicarakan tentang jaminan atau perlindungan hak-hak individu
daripada dimonopoli oleh golongan tertentu dalam negara. Di antara hak
individu yang dibincangkan oleh golongan liberal ini adalah kebebasan
memberi pendapat terutamanya berkaitan agama. Kebebasan memberi
pandangan mengenai agama secara perlahan-lahan bertukar kepada
pengertian kebebasan bersuara.
Bagi mempertahankan kebebasan individu golongan liberal mengasaskan
konstitusi kerajaan berkaitan warganegara, peraturan perundangan,
perwakilan demokrasi dan pasaran ekonomi. Hasrat perjuangan ini adalah
untuk menghasilkan lebih besar faedah kepada sebilangan besar masyarakat
(utilitarianism) dengan menyediakan falsafah yang boleh
memperkukuhkan bentuk dominasi liberalisme dalam abad ke-19. Golongan
liberal merupakan agen untuk memperluaskan konsep liberalisasi secara
universal dan memimpin pergerakan untuk mendapat hak mengundi secara
universal, menghapuskan perhambaan, mereformasikan penjara, menuntut
persamaan hak untuk wanita, minoriti, orang kurang upaya dan
homoseksual.
Tidak dapat dinafikan terdapat juga kebaikan dan nilai kemanusiaan
yang diperjuangkan oleh golongan liberal ini. Bagaimanapun perjuangan
golongan ini tidak diterima Islam kerana perjuangan mereka keterlaluan
sehingga mengetepikan aspek kerohanian dan keTuhanan. Konsep 'political liberalism' dan' religious pluralism'
yang diperkenalkan oleh ahli-ahli falsafah Barat bertentangan dengan
Islam kerana ideologi tersebut memisahkan ajaran agama dengan hal ehwal
kenegaraan dan pentadbiran. Sedangkan Islam membicarakan setiap aspek
kehidupan sama ada berkaitan kepercayaan, perundangan, ekonomi, politik ,
sosial dan akhlak.
Selain itu, Islam menggalakkan umatnya berijtihad (menggunakan akal
dan formula tertentu) jika permasalahan berkaitan kenegaraan, sosial dan
ekonomi tidak didapati di dalam al-Quran dan Hadis. Penggunaan akal
atau ijtihad perlu berpandukan kepada kaedah dan disiplin tertentu yang
digariskan oleh para sarjana Islam. Ini menunjukkan agama Islam adalah
moderat dan memberi kebebasan kepada umatnya menggunakan akal bagi
mengatasi permasalahan negara dan kemasyarakatan.
Setiap perkara yang dituntut oleh golongan liberal Barat berkaitan
hak individu, jantina, warga negara, minoriti dan agama sudah
diperjelaskan oleh Allah dan Rasul sejak awal abad ke-7 Masihi. Agama
Islam tidak memerlukan reformasi akidah, syariah dan akhlak seperti mana
berlaku kepada agama tertentu di dunia ini kerana Islam membicarakan
setiap aspek kehidupan sama ada berkaitan hubungan manusia dengan Tuhan,
hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan makhluk
Allah yang lain. Kesemuanya ini termaktub dalam al-Quran dan hadis.
Kejahilan dan kurang arif dalam Islam adalah faktor utama sebahagian
umat Islam mengagungkan konsep 'liberalisasi politik' dan 'pluralisasi
agama' yang diperkenalkan oleh ahli falsafah barat.
Golongan liberal kurang memahami sensitiviti masyarakat beragama.
Kebebasan tanpa batasan yang diperjuangkan oleh mereka bukan sahaja
menimbulkan pelbagai kesan yang boleh menjejaskan fitrah kejadian
manusia malah ia juga boleh memusnahkan ajaran fundamental bagi setiap
agama. Perjuangan mereka hanya tertumpu kepada aspek material dan
mengetepikan perkara berkaitan kerohanian.
Sedangkan manusia dicipta dalam bentuk material (tubuh badan) dan
rohani (jiwa/roh). Kehidupan manusia tidak akan mencapai kebahagiaan
hakiki jika salah satu daripada aspek ini diabaikan. Hasil perjuangan
golongan liberal, maka wujudlah golongan bertuhankan hawa nafsu tanpa
batasan yang dikenali sebagai masyarakat 'hedonistic' yang tiada haluan
dan pedoman dalam kehidupan. Akhirnya wujud kumpulan gay dan lesbian
yang bersikap di luar fitrah kemanusiaan.
Golongan liberal yang terlalu ghairah dengan konsep pluralisasi agama
menuntut masyarakat beragama supaya mengintegrasikan nilai baik dalam
kesemua agama di dunia ini untuk dijadikan sebagai panduan kehidupan
sama ada kepercayaan, budaya dan etika. Tidak kesemua agama perlu
direformasikan seperti mana dituntut oleh golongan 'pluralisasi agama'.
Agama Islam tidak perlu direformasi dan diintegrasi dengan agama lain
untuk dijadikan sebagai agama yang ideal.
Islam memahami dan menghormati sensitiviti masyarakat beragama.
Setiap manusia yang menganuti agama meyakini bahawa agama mereka adalah
benar dan diterima Tuhan. Persepsi begini merupakan lumrah kepada setiap
penganut agama di dunia ini. Menghina dan mempersendakan agama lain dan
mengintegrasikan satu agama dengan agama lain adalah diharamkan oleh
Islam.
Islam menghormati agama lain dan menolak kesatuan agama seperti mana
yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Kafirun yang bermaksud -" Bagi
kamu agama kamu dan bagi aku agama aku". Berdasarkan kepada prinsip ini
maka Islam memperakui hak dan kebebasan beragama kepada orang bukan
Islam. Prinsip kebebasan beragama ini diperkenalkan oleh agama Islam
sejak awal abad ke-7 Masihi.
Selain itu, Islam juga memperkenalkan prinsip kemanusiaan yang
universal seperti mana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 256 yang
bermaksud, " Tiada paksaan dalam agama". Ayat ini hanya dikhususkan
kepada orang bukan Islam di mana orang Islam diharamkan sama sekali
memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam.
Berdasarkan dua prinsip ajaran Islam ini maka umat Islam mampu
membina satu tamadun berorientasikan ajaran Islam di mana dalam empayar
Islam warganegara beragama Islam dan bukan beragama Islam hidup dengan
aman dan makmur. Kepelbagaian bangsa dan agama merupakan ciri bandar
metropolitan dalam empayar Islam.
Perkara utama yang perlu dilakukan oleh umat Islam ialah
mereformasikan pemikiran dan persepsi kehidupan seharian mereka
berlandaskan kepada ajaran Islam. Pemikiran radikal dan fanatik perlu
direformasikan supaya minda mereka mampu melihat realiti kehidupan
masyarakat secara universal.
Kejahilan terhadap intisari ajaran Islam dan sejarah keutuhan sistem
pemerintahan dan pentadbiran dalam empayar Islam ketika umat Islam
menerajui tamadun gemilang merupakan faktor utama segelintir umat Islam
mudah terpengaruh dengan pemikiran golongan liberal barat. Oleh itu,
umat Islam perlu menolak pemikiran liberal yang boleh menghasilkan
masyarakat bertuhankan material dan hawa nafsu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan