KUALA LUMPUR 31 Okt. - Pertubuhan tidak berdaftar, Suara Rakyat
Malaysia (Suaram) didakwa terlibat dalam satu perancangan bersama dengan
sebuah syarikat guaman tempatan terkemuka untuk menjatuhkan Kerajaan
Pusat yang dipilih secara sah melalui sistem demokrasi oleh rakyat.
Pendedahan kerjasama antara Suaram dengan syarikat guaman dalam satu
misi besar itu terbongkar selepas sepucuk surat dengan maklumat palsu
yang ditulis peguam syarikat terbabit kepada peguam Perancis, didedahkan
oleh Wee Choo Keong (gambar) (Bebas-Wangsa Maju) di Dewan Rakyat hari
ini.
Menerusi surat rasmi yang ditandatangani oleh peguam berkenaan dakwa
Choo Keong, syarikat guaman tersebut yang banyak mendapat kontrak guaman
dengan syarikat milik kerajaan (GLC) mendakwa Suaram sebagai sebuah
pertubuhan yang sah melalui Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara Inisiatif)
walaupun terbukti tidak berdaftar.
Ini satu perancangan yang besar untuk menjatuhkan kerajaan sekarang.
Selepas mendapatkan dana asing bernilai puluhan juta, Suaram
bersekongkol pula dengan syarikat guaman terkemuka tempatan untuk
menjayakan misi yang sama sehingga sanggup menulis surat mengatakan
Suaram kononnya pertubuhan yang sah.
Malang syarikat yang bersekongkol untuk menjatuhkan kerajaan ini
mendapat kontrak guaman dengan banyak GLC dan salah satunya adalah
Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya semasa sesi perbahasan peringkat
jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan.
Ketika ditemui Utusan Malaysia selepas sesi perbahasan tersebut, Choo
Keong memberitahu, surat yang ditulis dan ditandatangani oleh peguam
berkenaan bertujuan untuk meyakinkan peguam Perancis, William Bourdon
dan Joseph Breham dalam usaha Suaram dan syarikat guaman itu mahu
mengheret isu pembelian kapal selam Scorpene ke mahkamah.
Katanya, dengan berbuat demikian hasrat kedua-dua pihak itu untuk
menarik peguam asing dalam isu kapal selam Scorpene akan berjaya kerana
jika Bourdon dan Breham mengetahui Suaram sebenarnya sebuah badan tidak
berdaftar, tidak mungkin mana-mana peguam asing mahu terlibat dalam
perancangan mereka itu.
Sehubungan itu, beliau mendesak Majlis Peguam mengambil tindakan ke
atas peguam berkenaan kerana bertindak menyalahi kod etika amalan
profesional kerana dakwa Choo Keong, pengamal undang-undang itu secara
sengaja dan sedar telah menipu fakta sebenar demi kepentingan politik
sehingga mencemarkan imej Malaysia.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sesi penggulungan
pada sebelah malam berkata, Jabatan Peguam Negara sedang menunggu hasil
siasatan daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengambil
tindakan pendakwaan ke atas Suaram dan Suara Insiatif.
Hasil susulan, kami dimaklumkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul
Gani Patail, mereka sedang menunggu hasil siasatan ROS ke atas Suaram
terlebih dahulu sebelum mendakwa ke mahkamah kerana mempunyai hubungan
langsung dengan Suara Inisiatif yang di bawah bidang kuasa Suruhanjaya
Syarikat Malaysia (SSM)," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Suara Inisiatif yang didaftarkan di
bawah SSM bagi tujuan menerima dana asing sebelum disalurkan kepada
Suaram hanya mendapat pendapatan 0.06 peratus hasil perniagaan mereka
dan selebihnya wang yang diperoleh adalah datang daripada badan-badan
asing seperti Open Society Institute (OSI).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan