NAJIB Tun Razak bersalaman dengan
orang ramai ketika menghadiri Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan
peringkat negeri di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah, semalam. -
UTUSAN/KAMAL BASIR
****
SUNGAI PETANI 31 Okt. - Rakyat negeri ini
khususnya kalangan petani dijangka meraih satu lagi manfaat daripada
Kerajaan Persekutuan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini meluluskan projek 'lebuh raya sungai' dari Empangan Pedu
sehingga ke daerah Kuala Muda.
Menurut Perdana Menteri, projek lebuh raya berkenaan yang diharap
dapat dilaksanakan segera bertujuan meluruskan sungai yang kini dalam
keadaan bengkang-bengkok dan sering menimbulkan masalah banjir kepada
pesawah setiap tahun.
Selain itu, katanya, projek tersebut juga bertujuan memudahkan air
disalurkan ke kawasan tanaman padi yang kini mempunyai keluasan
kira-kira 38,000 hektar di kawasan Kedah tengah.
Menurutnya, kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat
setiap golongan termasuk petani yang telah banyak menyumbangkan jasa
kepada negara.
"Saya selaku Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan
melakukan yang terbaik untuk golongan ini," katanya ketika berucap dalam
majlis Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di
Pantai Merdeka di sini hari ini.
Lebih 15,000 peladang, penternak dan nelayan seluruh negeri Kedah
menghadiri program yang dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri
Asas Tani itu.
Dengan terlaksananya projek yang pernah dicadangkan oleh LPP itu,
lebih 3,000 keluarga petani dijangka meraih manfaat melalui peningkatan
pengeluaran hasil padi sedia ada daripada 2.8 metrik tan sehektar kepada
10 metrik tan sehektar.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa melahirkan penghargaan
kepada golongan petani dan nelayan atas jasa besar mereka kepada negara.
Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beliau
sentiasa merasai denyut nadi rakyat dan memahami aspirasi setiap
golongan termasuk petani.
Perdana Menteri berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
telah mendapat peruntukan besar iaitu lebih RM5.8 bilion dalam Bajet
2013 dengan RM2.4 bilion disediakan untuk subsidi padi, insentif petani
dan nelayan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyelar sikap pembangkang yang
cuba menghasut para petani agar tidak menghargai sumbangan yang
diberikan kerajaan.
"Apabila kita buat perkara seperti ini (bantu petani), ada pula puak
tertentu yang saya tidak tahu mahu panggil apa puak ini. Tetapi ada puak
yang menular, menjalar dan merayau di akar umbi, di celah pokok yang
membawa khabar bahawa kalau kerajaan beri, kita ambil," katanya.
Beliau berkata, sikap sedemikian sebenarnya membelakangi
prinsip-prinsip agama kerana mengajak rakyat supaya tidak berterima
kasih dan tidak menghargai pengorbanan pemimpin.
"Sebenarnya sikap sebegini membawa maksud orang munafik. Namun
begitu, kita sebagai kerajaan tidak pernah mengkhianati amanah yang
diberikan rakyat apatah lagi berbohong. Sebab itulah, kita sentiasa
menepati dan menunaikan janji," katanya.
Katanya, rakyat juga perlu menilai pemimpin pembangkang yang hanya
berjanji kosong tetapi tidak melaksanakan perkara yang baik untuk
negara.
"Mereka kata mahu menghapuskan tol dan menaikkan gaji, tetapi ini
akan menyebabkan ekonomi merudum. Apabila perkara itu berlaku, sudah
tentu petani dan nelayan tidak akan dapat subsidi lagi kerana hasil
kerajaan telah merudum
"Saya nyatakan perkara ini sebab saya Menteri Kewangan. Mengendali
kerajaan bukan suatu yang mudah atau suka hati dan sebut bagi
menyedapkan halwa telinga pengundi seperti janji itu ini dan hutang
dihapus," katanya.
Terdahulu Najib disambut oleh kira-kira 2,000 penduduk di Tanjung Dawai, Merbok dekat sini.
Sebaik sahaja tiba, beliau mengadakan walkabout bagi mendekati penduduk sekitar pekan Tanjung Dawai sebelum berlepas ke Pantai Merdeka dengan diiringi 40 bot nelayan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan