MARANG 2 Nov. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia
menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kerusi Parlimen
Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Katanya, beliau memang berhasrat merebut kerusi itu sekiranya parti juga bersetuju dengan keputusan tersebut.
Saya ikut keputusan parti. Saya serah kepada parti dan partilah yang
akan membuat keputusan. Parti hendak suruh bertanding Marang atau
Pekan, saya ikut.
Jika parti suruh saya bertanding di Pekan, saya akan bertanding di
Pekan. Itu kena tanya partilah, saya sanggup bertanding di Pekan jika
parti suruh," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Dana
Pilihan Raya Umum Ke-13 Dewan Muslimat Pas Negeri Terengganu di Dewan
Tok Guru Rusila dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kesediaannya untuk bertanding
kerusi di luar Terengganu pada pilihan raya umum akan datang.
Presiden Pas itu kini menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Rhu Rendang yang dipegangnya sejak enam penggal lalu bermula tahun 1986,
selain kerusi Parlimen Marang.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, Pas sudah bersedia untuk
menghadapi pilihan raya umum kali ini pada bila-bila masa dari sekarang
dan persiapan parti telah dibuat sejak setahun lalu.
Saya buat jadual melawat dan keseluruhan kerja telah dibuat sejak
setahun lalu untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.
Kita juga mengumpulkan dana daripada ahli Pas dan penyokong untuk
meneruskan aktiviti secara berterusan sehingga pilihan raya," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan