DR. MAHATHIR Mohamad (duduk, tengah)
menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Pembangunan
Buku Hijau Holdings Sdn. Bhd., (PBHH) yang diwakili oleh Pengerusi PBHH,
Datuk Ibrahim Jendol (kanan) dan Menteri Kewangan Sudan, Ali Mahmoud
pada Forum Perdagangan Malaysia-Sudan di Khartoum, Sudan, semalam. Turut
serta Ali Osman Mohammed Taha (duduk, kanan). - BERNAMA
*****
KHARTOUM 2 Nov. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
menyeru kerajaan di seluruh dunia, terutama dalam kalangan negara
membangun mengambil langkah berani membuat keputusan yang disifatkan
sesetengah pihak sebagai melawan arus dalam usaha memperkukuhkan ekonomi
masing-masing.
Katanya, keberanian itu menjadi salah satu punca Malaysia berupaya
membangunkan ekonomi dengan signifikan sejak selepas merdeka sehingga
kini, walaupun berasal daripada sebuah negara pertanian.
Menurut beliau, Malaysia selepas merdeka juga mengamalkan dasar
memberikan pengecualian cukai kepada syarikat asing yang beroperasi di
negara itu.
Malaysia juga sebuah negara yang pragmatik dengan tidak teragak-agak
mengamalkan ciri-ciri kapitalis dan sosialis bagi membangunkan
ekonominya," katanya semasa menyampaikan syarahan bertajuk Cerminan
Pengalaman Pembangunan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang berada selama tiga hari di sini sejak semalam dijemput
khas kerajaan Sudan bagi menghadiri Forum Perdagangan dan Pelaburan
Malaysia-Sudan (Masutif) yang julung kali dianjurkan bagi meningkatkan
hubungan perdagangan kedua-dua negara.
Forum lima hari yang bermula hari ini merupakan anjuran bersama
kerajaan Sudan melalui kedutaannya di Kuala Lumpur dan Majlis Perniagaan
Malaysia-Sudan.
Dr. Mahathir serta para kenamaan Sudan sebelum itu menyaksikan majlis
menandatangani memorandum persefahaman (MoU) membabitkan syarikat
Malaysia antaranya Pembangunan Buku Hijau Holdings Sdn. Bhd., Mimos
Bhd., Universiti Kuala Lumpur, Malaysia Airports Holdings Bhd., dan
Felda dengan syarikat tempatan.
Yang hadir sama, Naib Presiden Pertama Sudan, Ali OsmanMohammed Taha;
Menteri Luar Sudan, Ali Ahmed Karti; Duta Malaysia di sini, Datuk Mohd.
Ashri Muda; Duta Sudan Ke Malaysia, Nadir Yousif Eltayeb dan delegasi
perniagaan Malaysia.
Dr. Mahathir berkata, forum itu diharap dapat membantu meningkatkan
kerjasama antara kerajaan serta syarikat di kedua-dua negara.
Sementara itu, Ali Osman berkata, Sudan mahu mendapatkan bantuan
nasihat serta kepakaran Malaysia dalam membangunkan ekonomi negara
Afrika tersebut.
Sudan menghormati Malaysia sebagai sebuah negara Islam maju di bawah kepimpinan kerajaan yang baik," katanya. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan