NAJIB Tun Razak bersama Presiden HMC,
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri), Raja Dr. Nazrin Shah (kanan)
dan Presiden FIH, Leandro Negre menghadiri majlis Makan Malam Kongres
FIH Ke-43 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Kerajaan menyambut baik
hasrat Konfederasi Hoki Malaysia (HMC) membida menjadi tuan rumah
Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 selepas kali terakhir Malaysia
menganjurkan kejohanan itu pada 2002.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penganjuran
acara sukan bertaraf dunia itu akan meletakkan Malaysia dalam peta sukan
global sebagaimana pernah dibuktikan dalam legasi kejohanan-kejohanan
sukan besar yang dianjurkan sebelum ini.
"Hoki telah menjadi bukti kemampuan Malaysia menganjurkan kejohanan
bertaraf antarabangsa dengan infrastruktur bertaraf dunia. Ini legasi
yang kita boleh terus bangunkan selaras dengan hasrat HMC membida
kejohanan Piala Dunia 2018," katanya.
Beliau berucap dalam majlis makan malam sempena Kongres Dunia
Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Ke-43 yang disertai lebih 200
perwakilan dari 91 negara di sini malam ini.
Dalam majlis itu, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Raja Puan
Besar Perak, Tuanku Zara Salim dan Tengku Mahkota Pahang, Raja Abdullah
Sultan Ahmad Shah selaku peminat dan orang kuat hoki Malaysia turut
mencemar duli memeriahkan majlis tersebut.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor,
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Presiden FIH,
Leandro Negre serta Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Kelly Fairweather.
Terdahulu, Tengku Abdullah yang juga Presiden HMC dalam ucapannya
berkata, konfederasi itu bersedia menawarkan Malaysia menjadi tuan rumah
Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018.
Dalam pada itu, Najib berkata, perkembangan sukan hoki di negara ini
semakin berkembang dari semasa ke semasa sejak penganjuran kejohanan
Piala Dunia 1975 dan 2002 sebelum diikuti tiga kejohanan Piala Dunia
Remaja serta acara tahunan iaitu Piala Sultan Ahmad Shah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan