KUALA LUMPUR 31 Okt. -Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 
hari ini dibidas kerana bersikap dwistandard berhubung desakan pelbagai 
pihak agar beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan.
Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan 
Wan Muhammad berkata, tindakan Nik Abdul Aziz menyifatkan pihak yang 
memintanya berundur sebagai 'orang menganggur' juga jelas menunjukkan 
beliau tidak menghormati kebebasan bersuara.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga mengkritik Pengerusi 
Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk 
Mohd. Amar Nik Abdullah kerana meminta pihak lain 'jangan menyibuk' 
meminta Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Datuk Ahmad Yakob meletakkan 
jawatan berikutan skandal projek Lembah Sireh.
''Mursyidul Am Pas itu berkata beliau tidak akan melayan sebarang 
desakan untuk berbuat demikian melainkan datang daripada orang Pas 
sendiri. Lupakah dahulu beliau pernah 'menyibuk' mendesak Tun Dr. 
Mahathir Mohamad meletakkan jawatan walhal beliau bukannya ahli UMNO.
''Begitu juga dengan desakan pembangkang agar Datuk Seri Shahrizat 
Abdul Jalil meletakkan jawatan. Adakah yang mendesak itu ahli UMNO? 
Apabila kena orang lain, kecoh kata itu hak kebebasan bersuara. Tetapi 
apabila terkena batang hidung sendiri, kenapa mahu menafikan hak yang 
selama ini diperjuangkan mereka,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang tidak akan melayan 
sebarang desakan untuk berundur melainkan datang daripada orang Pas 
sendiri.
Perkara sama disentuh Mohd. Amar yang menegaskan hanya ahli Pas layak
 membuat keputusan menentukan kepemimpinan yang mereka pilih.
Wan Khairul Ihsan turut mengingatkan Nik Abdul Aziz tentang desakan 
untuk berundur yang disuarakan oleh seorang wakil rakyat Pas Kelantan 
iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, Dr. Nik Mazian Mohamed 
baru-baru ini.
''Kalau nak kata akan hanya melayan desakan orang Pas sendiri, Nik Mazian juga sudah bersuara. Itu teguran orang Pas,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan