Ahmad Yakob
*****
KOTA BHARU 31 Okt. - Kerajaan Pas Kelantan menyifatkan pelaksanaan
Projek Lembah Sireh bernilai RM2 bilion yang melibatkan kerajaan negeri
memindah milik tanah seluas 286.7 hektar kepada syarikat pemaju seperti
didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2011, sebagai tidak
merugikan.
Sebaliknya, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mendakwa,
pelaksanaan projek tersebut telah membolehkan kerajaan negeri
menyelamatkan wang Persekutuan antara RM500 juta hingga RM600 juta
melalui pembinaan benteng tebatan banjir sepanjang 4.6 kilometer.
Beliau yang tidak menyatakan kos pembinaan benteng tebatan banjir
yang dibuat turut mengakui pendedahan laporan audit bahawa kerajaan
negeri telah memindah milik tanah seluas 286.7 hektar di kawasan itu
kepada syarikat pemaju, syarikat Liziz Standaco Sdn. Bhd.
"Maknanya, bukan sahaja kita tidak ada kerugian, kita dapat
selamatkan RM600 juta daripada peruntukan Kerajaan Pusat untuk membuat
tebatan banjir," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
dan beberapa anggota exco kerajaan negeri serta wakil syarikat Liziz
Standaco.
Dalam sidang akhbar itu, Ahmad turut menjelaskan projek pembangunan
di kawasan tersebut hanya bermula pada 2007 dan tempoh perjanjian selama
12 tahun akan berakhir pada 2019, bukannya 2015 seperti dinyatakan
dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011
Beliau berkata, Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi
Projek Lembah Sireh hanya diperoleh pada 2006, diikuti dengan kebenaran
membangun daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).
"Dapat kebenaran membangun daripada MPKB barulah projek mula ertinya
kita mempunyai masa sehingga 2019. Jadi saya rasa kita tak ada masalah
lagi sedangkan setakat ini telah mendapat pulangan RM46 juta termasuk
RM3 juta daripada perumahan kos rendah, bayaran petani RM1.9 juta dan
nilaian daripada tanah yang diserah balik kepada kerajaan seluas 4.4
hektar RM41 juta.
"Itu belum kita kira lagi pendapatan yang diperoleh MPKB setiap tahun
melalui 175 akaun pembayar cukai berjumlah RM900,000 setahun.
"Jadi bagi kita, ini satu usaha yang amat hebat dapat kita buat
melalui swasta, kalau kita tak buat projek, orang kata tak buat pula,
kalau kita buat orang kata kita masalah pula, ini masalah kerajaan
negeri," katanya.
Kelmarin, Pergerakan Pemuda UMNO negeri dan Orang Muda Berpadu Anti
Korupsi (OMBAK) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) bagi mendesak siasatan dijalankan tentang kemungkinan
berlaku salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah terancang oleh
Kerajaan Pas Kelantan kerana Projek Lembah Sireh melibatkan kepentingan
rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan