Oleh Marhaini Kamaruddin
Najib Tun Razak (dua dari kanan) dan
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama (lima dari kiri) pada sesi bergambar bersama
pemimpin ASEAN (dari kiri) Presiden Filipina, Benigno Aquino; Perdana Menteri
Singapura, Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra;
Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung; Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen;
Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia, Susilo Bambang
Yudhoyono; Perdana Menteri Laos, Thongsing Thammavong dan Presiden Myanmar,
Thein Sein (kanan) pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan sidang berkaitan di
Phnom Penh, Kemboja, semalam. - AFP
*****
PHNOM PENH, Kemboja 19 Nov. - Malaysia dan
China sedang menyiapkan Pelan Kerjasama Ekonomi Lima Tahun bertujuan
meningkatkan hubungan kerjasama kedua-dua negara ke suatu tahap yang lebih
kukuh, bukan sahaja meliputi bidang ekonomi dan perdagangan bahkan aspek
politik dan keselamatan.
Dalam pertemuan antara Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rakan sejawatannya, Wen Jiabao atas
permintaan Perdana Menteri China itu di Hotel Intercontinental di sini malam
tadi, kedua-dua pemimpin berbincang secara meluas mengenai pelan 2013-2017 itu
yang bakal melonjakkan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$100 bilion (RM300
bilion).
Najib memberitahu penggunaan matawang
tempatan oleh kedua-dua negara akan memperluaskan hubungan dagangan dua hala
itu.
“Kedua-dua negara berpuas hati dengan
tahap hubungan yang cukup akrab termasuk kerjasama ekonomi yang sedia terjalin
dan sedang bekerja rapat merealisasikan pelan lima tahun ini yang skopnya
meliputi bidang pertanian, infrastruktur, perkilangan, pembuatan dan pelaburan
serta pembukaan taman industri.
“Draf pelan ini akan dikemukakan kepada
kerajaan Malaysia oleh China dalam masa terdekat," kata Najib pada sidang
akhbar ringkas di Hotel Phnom Penh di sini hari ini, di tengah-tengah Sidang
Kemuncak ASEAN Ke-21 dan sidang-sidang berkaitan.
Buat masa ini, China adalah rakan dagang
terbesar Malaysia sejak 2009 dengan jumlah dagangan mencapai AS$54.53 bilion
pada 2011 iaitu 13.2 peratus daripada keseluruhan nilai dagangan negara. China
juga merupakan pasaran eksport dan sumber import terbesar Malaysia.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini,
nilai dagangan dua hala meningkat 10.5 peratus kepada AS$38.16 bilion
berbanding tempoh sama tahun 2011.
Terdahulu, Perdana Menteri dan isteri
memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Raja Norodom Sihanouk yang
meninggal dunia 15 Oktober lalu di Royal Palace di sini. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121120/dn_01/Sasar-dagangan-RM300b#ixzz2DTtyqp3q
© Utusan Melayu (M) Bhd | 28/11/12
© Utusan Melayu (M) Bhd | 28/11/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan