Di mana Anwar Ibrahim ketika umat
Islam negara ini mengadakan demonstrasi secara aman bagi menyatakan
bantahan terhadap kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza
baru-baru ini?
ANWAR telah menyatakan dalam The Wall Street Journal yang berbunyi, "I support all efforts to protect the security of the state of Israel" ("Saya sokong semua usaha untuk melindungi keselamatan Negara Israel.")
Sejak Israel didirikan di atas wilayah milik orang Palestin, Israel
menjelaskan dan mempertahankan segala tindakannya ke atas rakyat
Palestin dan wilayah Palestin sebagai usaha untuk melindungi keselamatan
Israel.
Antara tindakan Israel yang didakwa olehnya sebagai melindungi, mempertahan dan menyelamatkan Israel ialah:
* Membunuh beramai-ramai Arab Palestin seperti di Deir Yassin supaya
Arab Palestin keluar dari wilayah yang dihadiah oleh British kepada
Zionis untuk menjadi negara mereka.
* Tidak membenar orang Palestin yang dihalau keluar ini kembali ke wilayah yang dikuasai Israel.
* Menembak dan membunuh penyertaan intifada yang membaling batu, termasuk kanak-kanak.
* Memperluaskan wilayah Israel melalui serangan ketenteraan.
* Membina beratus settlement (penempatan) Yahudi di atas wilayah Palestin.
* Membekal pemastautin Yahudi dalam settlement ini dengan senjata untuk mempertahan settlement.
* Mengadakan beratus road block untuk menghalang perjalanan orang Palestin dalam kawasan orang Palestin.
* Melambatkan proses membenar rakyat Palestin berjalan sehingga yang
sakit tidak sempat ke hospital dan yang mengandung melahirkan anak di road block. Anak kerap mati dan ibu berdarah sehingga meninggal dunia.
* Membedil kawasan Palestin tanpa sebab supaya Arab Palestin
tinggalkan wilayah mereka dan Palestin, kemudian dimiliki sepenuhnya
oleh Israel.
* Menembak roket untuk membunuh seorang pesakit di atas kerusi roda dan seorang pemimpin Hamas di Gaza.
* Mengepung kem pelarian Shatilla di Lebanon dan mengarah tentera
selatan Lebanon yang terdiri daripada orang Kristian untuk membunuh
2,500 pelarian Palestin. Satu daripada pelarian Palestin yang terselamat
menceritakan kepada Suruhanjaya Pengadilan Palestin yang diadakan di
Kuala Lumpur pada 21 November 2012 bagaimana askar memasukkan semua ahli
keluarganya ke dalam rumah, kemudian mengarah orang lelaki keluar dan
berdiri menghadap dinding rumah dan mereka ditembak mati, termasuk
bapanya dan suaminya. 28 ahli keluarganya ditembak mati sebegini.
* Menghancurkan kampung Jenin dengan serangan bersenjata dan jentolak
untuk robohkan rumah dengan penduduk masih berada di dalam.
* Membedil dan menyerang Genting Gaza sehingga musnah hospital dan
sekolah pada 2006. Seorang wanita Amerika yang menghalang jentolak
daripada memusnahkan sebuah rumah, dilanggar dan digelek hingga mati
wanita berkenaan. Mahkamah Israel mendapati askar yang memandu jentolak
itu tidak bersalah.
* Menyekat kapal-kapal yang membawa ubat, makanan dan bahan binaan
daripada menghampiri Gaza. Dua kapal milik Perdana Global Peace
Foundation dan sebuah kapal Turki diserang di perairan antarabangsa.
Sembilan orang pekerja amal Turki yang berada di atas kapal Mavi Marmara
ditembak mati.
* Sekatan ke atas Gaza dikenakan sehingga sekarang walaupun ia haram dari segi undang-undang antarabangsa.
* Baru-baru ini Israel melancar roket untuk membunuh seorang ketua
Hamas. Apabila Gaza melancar serangan balas dengan roket, Israel
membalas dengan melancar roket dan bom ke atas Gaza. Seramai 160 orang
terbunuh kerana tindakan Israel.
Semua ini dan keganasan lain lagi didakwa oleh Kerajaan Israel adalah untuk keselamatan (sekuriti) Israel.
Semua ini, mengikut Anwar Ibrahim disokong olehnya kerana semua ini adalah "efforts to protect the security of Israel" (usaha untuk melindungi keselamatan Israel).
Apa lagi bukti yang dikehendaki oleh ahli Parti Keadilan Rakyat dan
Pas untuk tidak mempercayai yang Anwar Ibrahim adalah penyokong Israel.
Menyokong Anwar samalah dengan menyokong Israel. Orang ini berlagak sebagai pejuang Islam untuk sokongan penyokong Pas.
Tetapi untuk menjadi Perdana Menteri, menyertai UMNO dan mengutuk Pas. Kemudian apabila digugur oleh UMNO, menyokong Pas semula.
Orang yang mudah melompat dari parti ke parti, tidak sukar lompat dari Palestin ke Israel, dari Islam ke Yahudi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121128/re_02/Anwar-dan-Israel#ixzz2DwwFVjn8
© Utusan Melayu (M) Bhd | 3/12/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan