KUALA LUMPUR 28 Nov. - Jumlah pengundi muda seramai 5.9 juta orang
dijangka menjadi faktor penentu kemenangan sesebuah parti dalam Pilihan
Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, jumlah itu merupakan pecahan daripada keseluruhan 13.1 juta pengundi berdaftar di seluruh negara.
"Daripada jumlah itu, seramai 2.4 juta pengundi terdiri daripada
mereka yang berumur lingkungan 21 hingga 29 tahun dan kali pertama
mengundi. Mereka ini terdiri daripada kumpulan profesional dan separa
profesional yang akan menjadi faktor penentu kemenangan.
"Jadi, amat penting untuk mendekati golongan ini melalui pelbagai
pendekatan bagi mendapatkan sokongan sama ada secara bersemuka atau
melalui media sosial,"katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, sekiranya
pendekatan bersemuka tidak dapat digunakan sepenuhnya untuk mendekati
kumpulan berkenaan, skuad media trooper UMNO dan Barisan Nasional (BN)
harus memainkan peranan dengan berkesan.
"Media trooper berperanan untuk menangkis serangan yang dilemparkan
pembangkang dengan syarat ia harus berada dalam bilik yang sama walaupun
bantal berbeza.
"Pada masa tersebut, tidak penting untuk melayan perbezaan pendapat
sebaliknya kemenangan UMNO dan BN harus menjadi objektif utama,"
katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan calon yang akan mewakili BN pada PRU-13
diisi oleh calon orang muda, Ahmad Zahid menjelaskan perkara itu tidak
mustahil berdasarkan taklimat yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri
Najib Tun Razak semalam.
"Ia memberi bayangan bahawa generasi muda akan diberi peluang kali
ini dan hakikat itu harus dilihat secara positif oleh mereka yang telah
lama berkhidmat dalam parti.
"Kita harus memberi peluang kepada mereka untuk mewujudkan satu struktur pemimpin pelapis UMNO dan BN," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan