Shahrizat Abdul Jalil
*****
KUALA LUMPUR 28 Nov. - Tiga sayap UMNO hari ini dengan penuh
bersemangat melaungkan keazaman untuk bertarung habis-habisan bagi
memastikan kejayaan cemerlang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya
Umum Ke-13.
Tekad berkenaan dilafazkan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua
Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika menyampaikan
ucapan dasar di perhimpunan agung sayap masing-masing di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Shahrizat ketika menyampaikan ucapan bertemakan, Masa Depan UMNO:
Beranjak Untuk Melonjak Ke Arah Kemenangan" berkata, beliau amat yakin
seramai 230,000 jentera pergerakan itu bersiap sedia sepenuhnya untuk
mempertahankan kemenangan BN.
Bagaimanapun beliau mengingatkan selepas pilihan raya umum lalu,
landskap politik telah banyak berubah yang memerlukan mereka beranjak
sesuai dengan perubahan itu bagi melonjak kemenangan.
Dalam pilihan raya umum akan datang, kemenangan yang kita harapkan
tidak akan datang bagai yang bulat bergolek dan yang pipih melayang.
Jika kita gagal menyelami dan memahami gelombang perubahan ini,
pendekatan kita akan dilihat hambar dan gerak kerja kita tidak bermaya.
Wawasan dan dasar UMNO kita akan dianggap lapuk dan gagasan kita
disifatkan sebagai usang. Oleh itu adalah amat penting untuk kita
memenuhi aspirasi dan memahami perubahan pemikiran orang-orang Melayu.
Percayalah! tanpa UMNO, agama dan bangsa orang Melayu akan
tergadai. Siapa lagi yang hendak kita harapkan menjaga agama Islam dan
bangsa Melayu di negara ini?
Kita tidak ada pilihan kerana dalam senario politik hari ini,
hanya UMNO sahajalah yang dapat mempertahan serta memartabatkan agama
dan bangsa, katanya.
Sementara itu dalam ucapan penuh bersemangat bertemakan Antara dua
masa depan, Khairy pula mengingatkan Pemuda UMNO supaya bersedia kerana
semboyan perang pilihan raya sudah bergema.
Dalam berahi kita membongkar helah pembangkang, jangan sekali kita
lupa. Di hadapan benteng bala tentera musuh kian mara. Langkah demi
langkah, mereka seret bendera dan meriam kehancuran, yang bakal meranap
harmoni yang telah lama kita bina.
Dengan seiras semangat juang, saya menyeru para perwakilan, mari
kita tempur seteru kita di segenap ruang! Kita bahas mereka di Parlimen,
kita patahkan hujah mereka di kedai kopi, kita dedah muslihat mereka di
alam siber! Tak kira di kota atau di desa, kita tumpaskan pengkhianat
bangsa. Kita tempur, kita gempur, lantas berkuburlah Pakatan durjana!,
tegasnya sambil disambut sorakan perwakilan.
Beliau menegaskan, masa depan bersama BN akan menjamin Perlembagaan
kekal dijulang, raja dijunjung, Islam dimuliakan, kedaulatan negara
dipertahankan dan bangsa Melayu diperkasakan.
Masa depan di bawah pakatan pembangkang akan melihat negara bakal
muflis, maruah bangsa dipijak-pijak, kacau bilau di mana-mana, Islam
yang tidak terbela, keruntuhan akhlak dan moral, silap haribulan
kemerdekaan tergadai.
Di bawah muslihat pakatan, Persekutuan Malaysia akan jadi
perpecahan Malaysia. Mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakan
ideologi dan undang-undang yang berbeza. Hudud versi Pas akan mengawal
hidup di Pantai Timur sekali gus menakutkan orang bukan Islam dan konsep
Malaysian Malaysia" yang meminggirkan orang Melayu akan
bermaharajalela di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Di negeri-negeri PKR pula, tiada apa yang suci, semuanya halal, anything goes, asalkan Anwar kekal dijulang, tegasnya.
Rosnah pula menegaskan, Puteri UMNO berikrar, akan menumpahkan
segala kesetiaan, mengerah segala kudrat dan kekuatan serta berpadu
merapatkan barisan demi memastikan BN menang dalam pilihan raya yang
akan datang.
Puteri berikrar, biarpun perit kita akan bangun mempertahankan
maruah parti, Puteri berikrar, biarpun jerih Puteri akan bangun
mempertahankan jalan juang parti, Puteri berikrar biarpun sakit Puteri
akan tetap mempertahankan parti pusaka ini sampai mati.
Puteri berjanji kita akan lawan mereka yang membakar parti dengan
fitnah. Kita akan tentang mereka dalam parti yang suka mencucuk dan
mencanang. Kita akan pertahankan parti dari dibunuh pengkhianat dan
petualang, tegasnya.
Beliau berkata, bagi mencapai hasrat berkenaan, mereka akan
mengetepikan segala soal peribadi dan sikap yang boleh merosakkan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan