17 Disember 2012

DAP mahu tambah 13 kerusi

PULAU PINANG 15 Dis. - DAP secara terbuka menunjukkan kepada dua sekutunya dalam pakatan pembangkang iaitu Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tentang kesungguhan parti itu untuk menjadi lebih berkuasa apabila meminta tambahan kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ketika membuat permintaan itu, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng (gambar) berkata, DAP telah menjadi rakan yang setia dan tulus kepada Pas dan PKR dan sewajarnya dihargai.
"DAP berharap supaya kesetiaan parti ini diiktiraf dengan cara membenarkan DAP bertanding lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum iaitu sasaran yang diletakkan adalah tiga tambahan kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung," katanya di sini hari ini.
"Sabah dan Sarawak pula sedang mengendalikan rundingan kerusi mereka sendiri," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Kebangsaan Ke-16 DAP di sini hari ini.
Permintaan itu dibuat di hadapan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamarudin yang turut hadir.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri turut mengambil peluang menasihatkan kerajaan Pas Kelantan supaya berhati-hati dalam pentadbiran mereka supaya tidak mendatangkan perasaan kurang selesa kepada orang bukan Islam.
"Saya berharap saman yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan di Kelantan kepada pemilik salon rambut bukan Islam yang didenda kerana memotong rambut lelaki bukan Islam dibatalkan.
"Pas perlu membuktikan mereka dapat memberikan keadilan kepada bukan Islam dalam pentadbiran," katanya.
Tegas Guan Eng, isu terbabit bakal mendatangkan masalah kepada pakatan pembangkang jika tidak diselesaikan dengan segera.
"Jika isu ini berlarutan, ini juga bakal memberikan masalah kepada kita untuk memberikan impak yang kuat di negeri-negeri yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) seperti Johor," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my | 17/12/12

Tiada ulasan: