KUALA LUMPUR 15 Dis. - Konspirasi menyingkirkan Pengerusi DAP, Karpal Singh daripada menduduki Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) akan berterusan tidak kira dalam pemilihan kali ini atau akan datang.
Perkara itu berikutan wujudnya puak tertentu dalam parti yang turut didalangi pemimpin tertentu DAP untuk memastikan Karpal tidak menjadi halangan mereka ke Putrajaya.
Bekas Pengerusi DAP Cawangan Pantai Sepang, Selangor, R. Vellasamy mendakwa, ketika ini, Dinasti Lim sedang menerima tekanan dari peringkat akar umbi yang mahu Karpal terus kekal menerajui kepimpinan tertinggi parti tersebut.
Menurutnya, akibat tekanan itu peluang menjatuhkan Karpal mungkin menjadi sukar.
"Konspirasi menjatuhkan Karpal akan tetap berlaku, jika kali ini beliau berjaya mempertahankan jawatan, mungkin dalam pemilihan akan datang beliau akan disingkirkan.
"DAP ketika ini sangat terdesak untuk menguasai Putrajaya, mereka tidak akan sesekali melakukan sesuatu yang 'bodoh' seperti ini terutamanya apabila ramai ahli akar umbi bangkit menyatakan sokongan kepada Karpal.
"DAP memerlukan sokongan dalam kalangan ahlinya sendiri untuk memastikan mereka mendapat undi dalam pilihan raya akan datang, mereka perlu jaga hati akar umbi. Selepas itu, pasti Karpal akan disingkirkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Vellasamy mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini berhubung dakwaan terdapat cubaan menyingkirkan Karpal daripada terus mempertahankan kedudukan dalam CEC dalam pemilihan Kongres Kebangsaan DAP ke-16 hari ini.
Jelas Vellasamy, lebih ramai akar umbi kini mula bangkit dan mempersoalkan cara pentadbiran DAP khususnya oleh Dinasti Lim yang semakin kritikal serta tidak demokratik.
"Ketika ini, kepimpinan tertinggi DAP sendiri sudah mempunyai beberapa puak yang saling berebut kuasa terutamanya di Selangor. Perebutan kuasa ini semakin hari semakin teruk.
"DAP sedang mempunyai masalah dalaman yang serius dan perlu ditangani, sekiranya sekali lagi pemimpin tertinggi membelakangi suara akar umbi, lebih ramai ahli akan bertindak keluar parti," ujarnya.
Tambahnya, sejak pilihan raya umum 2008, DAP semakin 'bongkak' kerana berjaya mentadbir negeri sehingga melupakan perjuangan ahli akar umbi.
"Tanpa akar umbi yang telah bersama berpuluh tahun lamanya, tanpa usaha kami yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan parti, DAP hanya kosong," katanya.
"Sejak berkuasa, pelbagai perkara mereka lakukan, sesiapa yang bersuara mengkritik pemimpin DAP atau parti, terus didiamkan melalui Lembaga Disiplin atau dipecat atas alasan yang tidak relevan. Saya rasa DAP yang tidak relevan lagi," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan