SHAH ALAM 18 Dis. - Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab apabila dilihat cuba mencetuskan provokasi dalam kalangan rakyat dengan memutar-belit titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kononnya baginda membenci UMNO.
Setiausaha Agung Jalur Tiga (Jati), Norman Toha berkata, tindakan Abdul Rani menerusi satu artikel yang disiarkan oleh harakahdaily.net itu tidak boleh dimaafkan kerana beliau dilihat telah mengaitkan Sultan Selangor dengan parti politik selain merendah-rendahkan kedudukan baginda.
Malah, kata beliau, Abdul Rani dalam kenyataannya itu dilihat seolah-olah mendakwa Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan pihak yang terbabit di istana kononnya pendokong kuat UMNO.
"Baginda adalah Ketua Agama Islam dan payung kepada seluruh rakyat di negeri ini. Justeru, dalam menyatakan nasihat melibatkan sesuatu perkara, baginda melihat dari semua sudut tanpa memihak mana-mana parti politik.
"Selain menerima nasihat daripada badan-badan di bawah kelolaan baginda, Sultan Selangor juga akan meminta pandangan pakar-pakar rujuk dalam bidang berkaitan.
"Saya melihat kenyataan Abdul Rani itu lebih berunsur provokatif dengan memberi gambaran kepada rakyat umum kononnya baginda adalah 'pak turut' kepada Pengerusi MAIS, Pengarah JAIS, SUK serta penasihat-penasihat baginda," katanya yang juga bekas Setiausaha Pas Selangor dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 12 Disember lalu, Abdul Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Meru dalam kenyataan yang disiarkan harakahdaily.net meminta semua pihak, khususnya UMNO supaya tidak cuba 'mempengaruhi' Sultan Selangor kerana akan menyebabkan baginda mendapat persepsi negatif.
Malah Abdul Rani turut meminta pihak yang menasihati sultan sama ada di istana, dalam MAIS, JAIS atau SUK supaya berhati-hati dan jangan sekali-kali mencemar kemuliaan baginda dengan agenda UMNO.
Abdul Rani turut menyatakan kononnya pernah berlaku krisis di Selangor apabila Pengerusi MAIS, Pengarah JAIS dan sebagainya, yang menasihati sultan dalam hal ehwal agama, secara terang-terangan menyokong UMNO dan melakukan tindakan yang bercanggah dengan kerajaan negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan