20 Disember 2012

Usah anggap sebagai basi

BESUT 18 Dis. - Bayangkan jika saudara terdekat yang sedang uzur enggan membenarkan anda menziarahinya malah berpesan jika meninggal kelak, jangan biarkan anda turut bersama menyembahyangkan jenazah.
Seolah-olah tiba-tiba anda dalam kelompok kafir yang perlu dimusuhi, tidak harus didekati sedangkan anda tidak pernah berseteru, cuma tidak bersama dalam kelompok parti yang dilaung-laungkan sebagai parti Islam dan parti Allah.
Demikian hinanya anda yang hanya melihatkan dari jauh kenduri kendara jiran apabila tidak lagi diundang kerana parti yang berbeza dan mereka memaling muka daripada menerima jemputan ke majlis yang anda adakan.
Itulah sebahagian daripada sekian banyak rentetan peristiwa yang pernah dilalui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Ramlan Ali (gambar) kesan daripada pegangan terhadap Amanat Haji Hadi yang membawa perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Justeru Ramlan berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak harus menganggap isu amanatnya tiga dekad lalu sebagai isu basi bermotif politik yang tidak perlu diambil peduli.
Menurut Ramlan, petikan ucapan Abdul Hadi yang kemudiannya dijaja secara meluas atas nama Amanat Haji Hadi sebenarnya menjadi titik mula perpecahan terbuka dan ketara dalam kalangan umat Islam di negara ini.
''Apa yang dimulakannya itu dalam keghairahan berpolitik menular sehingga kini dan perbuatan mengkafirkan UMNO berterusan di kalangan pemimpin Pas, perpaduan umat Islam makin retak, maruah Islam terus tercemar dan kuasa politik Islam kian terhakis.
''Namun saya percaya tidak mungkin beliau akan menarik balik amanat itu kerana tindakan itu boleh menjejaskan pengaruh Pas, malah meranapkan kewibawaannya dari kacamata pengikut taksub dan masa depannya dalam parti itu," ujarnya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Ramlan berkata demikian ketika mengulas pendedahan bekas aktivis dan penyokong tegar Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N al-Afghani bahawa puluhan ribu pengikut parti itu masih berpegang kepada Amanat Haji Hadi.
Zainon menggesa Abdul Hadi menarik balik amanat itu secara terbuka bagi memperbetulkan akidah pengikutnya yang bukan sahaja masih terus mengkafirkan saudara seagama malah menutup pintu hati mereka untuk menerima segala kebaikan yang cuba dibawa oleh kerajaan.
Ramlan menarik perhatian, jika Abdul Hadi meletakkan kepentingan akidah, agama dan masa depan ummah lebih utama, pemimpin Pas itu akan dikenang dengan penghormatan tinggi ketika terlalu sukar mencari mana-mana pemimpin mengakui kesilapan.
Menurut Ramlan, apa yang dinyatakan oleh Zainon memang benar dan penduduk di kawasan yang diwakilinya merupakan antara yang paling taksub dengan menerima bulat-bulat Amanat Haji Hadi, sehingga mewujudkan benteng yang memisahkan persaudaraan dan kejiranan.
"Saya nak tanya pemimpin Pas. Apakah hati mereka hidup atau mati kerana mereka sanggup melihat segala akibat buruk hasil daripada amanat tersebut?.
''Bayangkan kini ketika anak menjadi imam, bapanya mengayuh basikal ke masjid yang lain. Mereka berpaut dalam kelompok penyokong parti, malah semasa mati juga di sini wujudnya kubur berasingan," ujarnya.
Kata beliau, sebagai pemimpin setempat beliau masih berusaha untuk mengubah keadaan ini bagi mengembalikan suasana kehidupan silam masyarakat yang penuh dengan kemesraan dan semangat kekitaan.
''Saya ingin melihat permuafakatan semula. Namun ini tidak mudah, masih sukar untuk bertegur sapa, masih sukar untuk bersama bergotong-royong," ujarnya.
Katanya, usaha untuk membantu mereka yang layak menerimanya melalui pelbagai program dan perancangan oleh kerajaan juga tidak mudah dan jika diterima pun, mereka tidak menunjukkan rasa berterima kasih malah ada ketikanya menghina.

Tiada ulasan: