BARISAN kepimpinan UMNO meletakkan
tangan pada dada sambil mengikut ikrar yang dilafazkan oleh Najib Tun
Razak ketika membuat ucapan penggulungan dalam Perhimpunan Agung UMNO
2012 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur,
semalam.
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak
percaya majoriti dua pertiga pasti menjadi milik Barisan Nasional (BN)
jika semua ahli UMNO dan parti-parti komponennya sepakat menyokong calon
pilihan raya yang dipilih pucuk pimpinan.
Menaruh keyakinan itu dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan
Agung UMNO 2012 di sini, Presiden UMNO itu percaya pakatan pembangkang
tidaklah sekuat mana, tetapi cuma yang dikhuatirkan beliau adalah
persengketaan dalam isu pilihan calon.
Atas sebab itu di hadapan lebih 4,000 perwakilan hari ini, beliau
mengutarakan soalan cepumas untuk difikirkan oleh ahli UMNO dan BN demi
meraih kembali mandat memerintah daripada rakyat.
"Saya nak ambil lima kemungkinan, akan sokong sepenuhnya calon yang
dipilih parti, sokong (sahaja), tidak bekerja, sabotaj (disambut sorakan
perwakilan) dan lompat parti.
"Ini survey penting, tanya diri sendiri. Sebab itu dalam
perhimpunan ini, kita mesti kata dengan suara yang cukup hebat bahawa
jawapan yang kita hendak kepada soalan cepumas itu tidak lain tidak
bukan, iaitu kalau saya tidak dipilih sebagai calon, saya tetap akan
sokong sepenuhnya calon UMNO dan Barisan.
"Kalau itu jawapannya, kalau itu yang sebenarnya dalam hati kita,
insya-Allah, Pilihan Raya Umum ke-13 empunya kepada UMNO dan BN dengan
kemenangan dua pertiga," kata beliau.
Najib berkata, beliau perlu mengingatkan meskipun perwakilan dalam
Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini bergema menyokong
calon pilihan parti, namun apakah semangat itu mampu dipertahankan
sehingga tiba pilihan raya nanti.
"Sebab di kalangan kita kadang-kadang ni banyak batu ronsonnya,
banyak tukang kipasnya, yang akan cong kita kalau tak kuat iman, kita
daripada sokong sepenuhnya, dia turun kepada sokong ataupun daripada
sokong, dia buat dek (tak tahu), tak kerja (bantu jentera) ataupun lebih
parah daripada itu, dia sabotaj parti atau lompat parti," kata beliau.
Menurut Presiden UMNO itu, beliau memang menaruh kepercayaan tinggi
bahawa kebanyakan perwakilan dalam dewan perhimpunan hari ini merupakan
penyokong tegar parti.
Namun, kata beliau, dalam politik segalanya berkemungkinan.
"Jangan lupa ada juga bekas menteri, bekas timbalan menteri yang telah mengkhianati parti kita.
"Dia dah rasa nikmat jadi menteri, nikmat jadi timbalan menteri dan
banyak lagi nikmat lain tetapi hari ini kerana gila jawatan kerana
dirasuk oleh orang tertentu, hari ini menjadi orang yang menentang UMNO
dan BN," kata beliau.
Najib turut menyifatkan sambutan Perhimpunan Agung UMNO kali ini cukup luar biasa.
"Jurucakap pun macam Tan Sri Muhyiddin sebut tadi pengisiannya cukup baik, nak cakap merapu kurang kali ini.
"Tidak ada reaksi yang negatif di kalangan mereka yang sedang memerhati perjalanan perhimpunan kita.
"Dan yang cukup teristimewa bukan sahaja di kalangan orang Melayu
yang katanya gah perhimpunan ini menyebabkan mereka lihat bahawa UMNO
semakin hari semakin pulih. Dan padanya UMNO semakin hari semakin layak
untuk terus memimpin negara kita," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan