PERWAKILAN Pergerakan Wanita UMNO
Bahagian Pekan, Pahang terharu dan mengesat air mata ketika mendengar
ucapan penggulungan oleh Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung UMNO
2012 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan,
pemberian undi kepada pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13
nanti akan membawa kerosakan akidah, perpecahan kaum dan penindasan ke
atas kaum tertentu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan, rakyat perlu memahami
bahawa hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) sahaja yang berjuang untuk
negara ini dan kemajuan orang Melayu serta kaum lain.
"Yakin dan percayalah satu undi untuk PKR (Parti Keadilan Rakyat)
bermaksud satu undi untuk kerosakan akidah dan kerosakan umat. Satu undi
untuk Pas bermakna satu undi untuk perpecahan. Satu undi untuk DAP
bermakna satu undi penindasan ke atas bangsa tercinta.
"Satu undi untuk UMNO dan BN adalah satu undi untuk keselamatan
akidah orang Islam. Satu undi untuk BN, satu undi untuk perpaduan dan
kekuatan umat. Satu undi untuk BN, satu undi pembelaan bangsa Malaysia,"
katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan demikian ketika menggulung
perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Najib berkata, inilah masanya untuk ahli-ahli UMNO berada dalam
barisan yang bersatu bagi menentang fitnah daripada Pas, menentang
pluralisme daripada PKR dan menentang perkauman daripada DAP.
"Adakah kita mahu anak-anak kita sesat akidahnya? Adakah kita mahu
anak-anak kita sesat akidahnya? Adakah kita mahu anak-anak kita gelap
masa depan? Adakah mahu negara ini porak peranda? Adakah kita sanggup
memperjudi masa depan negara?
Kalau semua jawapan tidak, katakan "tidak" pada PKR, katakan "tidak" kepada Pas dan katakan "tidak" kepada DAP," katanya.
Beliau juga meminta, ahli-ahli UMNO supaya membayangkan segala
kesyukuran, kedamaian dan kebahagiaan yang dikecapi dan dinikmati serta
yang akan terus dirasai hasil pemerintahan UMNO dan BN berbanding jika
pembangkang yang memerintah.
"Bayangkan juga segala kehancuran, kemusnahan, kerosakan, porak
peranda dan kebangsatan jika pilih pembangkang. Demi Islam, demi Melayu,
demi Malaysia, demi bumi bertuah, demi anak cucu kita, mesti setia
kepada perjuangan UMNO.
"Yakinlah hanya UMNO yang mampu mempertahan kesucian agama Islam.
Hanya UMNO yang mampu membela nasib bangsa Melayu dan kaum-kaum lain.
Katakan dalam jiwa kita, hidup dan mati hanya untuk Islam. Wajib
pertahankan UMNO kerana UMNO pertahankan Islam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan