Mohd. Shafie Apdal menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, di PWTC, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Semua pengundi berdaftar yang kini berjumlah 13
juta orang wajib menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang kerana jelas Penasihat Parti
Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak layak menjadi seorang pemimpin.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, terlalu
banyak petunjuk serta petanda yang diberikan oleh Allah SWT kepada
rakyat negara ini sejak lebih sedekad lalu hingga ke saat ini bagi
membuktikan keredaan-Nya yang tidak pernah berpihak kepada Anwar.
Beliau berkata, rakyat harus sedar Anwar pernah memangku jawatan
Perdana Menteri selama tiga bulan ketika di dalam kerajaan dan
seharusnya Ketua Pembangkang itu tiada masalah untuk menjadi Perdana
Menteri tetapi itu tidak berlaku.
"Bukan Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Datuk Seri Najib Tun Razak yang
menjadi Perdana Menteri tetapi Anwar. Anwar pernah memangku jawatan
Perdana Menteri dan terlalu hampir untuk memegang jawatan tersebut
tetapi atas kehendak Allah, Anwar gagal.
"Allah telah memberi banyak petunjuk kepada kita berhubung dengan
Anwar. Oleh itu, saya meminta bukan sahaja kepada ahli UMNO dan
penyokong BN tetapi juga kepada semua 13 juta pengundi berdaftar supaya
mereka terus memberi mandat kepada Najib dan BN pada pilihan raya umum
akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada
hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC), di sini hari ini.
Mohd. Shafie berkata, mesejnya itu turut termasuk kepimpinan
parti-parti pembangkang yang lain khususnya DAP dan Pas kerana jelas
mereka tidak akan mampu mentadbir negara dan membela nasib rakyat.
"Rakyat tiada pilihan lain. Mereka perlu memberi mandat kepada BN
pada pilihan raya akan datang demi agama, bangsa dan negara," ujarnya.
Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan semua ahli dan pemimpin
mengenai faktor calon boleh menang yang perlu dipertahankan bagi
memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.
"Calon-calon yang tidak terpilih pada pilihan raya umum akan datang,
tidak bererti mereka disisihkan daripada parti sebaliknya itu merupakan
satu pengorbanan demi masa depan generasi akan datang.
"Yakinlah pengorbanan yang mereka lakukan ini boleh membuatkan masa depan zuriat kita lebih cemerlang," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan