KUALA LUMPUR 1 Dis. - Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah hari ini mendedahkan bahawa beliau ada kalanya merasa sakit
hati dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang terutama
apabila mengaitkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan rasuah dan
kronisme.
Beliau berkata, ini kerana pentadbiran kerajaan di bawah Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan segalanya dengan
cara betul tetapi masih menerima pelbagai tuduhan dan fitnah daripada
pembangkang.
"Kadang-kadang saya sebagai Menteri Kewangan rasa sakit hati apabila
baca (tuduhan). Orang kata kita macam-macam sedangkan kita buat kerja
dengan betul," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan
dengan pemimpin Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) di sini hari ini.
Ahmad Husni yang juga Bendahari UMNO berkata, sebagai contoh, dalam
pemberian tender, ia bukan diserahkan begitu sahaja tetapi perlu melalui
dua proses penilaian dan semakan yang ketat di peringkat kementerian
pelaksana serta Kementerian Kewangan.
"Begitu juga apabila syarikat kerajaan hendak diswastakan, ia dibuat
melalui proses bidaan. Kita akan menilai semua pembida dan hanya pembida
dengan tawaran terbaik akan dipilih. Bukannya dari mana bidaan itu
dibuat," tegasnya.
Di sebalik pelbagai tuduhan terhadap kerajaan BN, beliau meminta
rakyat mendapatkan fakta sebenar tentang bajet 2013 pembangkang agar
mereka tidak tertipu.
"Kononnya bajet pembangkang defisit 3.5 peratus walhal banyak
perbelanjaan yang dijanjikan tidak dimasukkan dan akhirnya apabila
dimasukkan ia menjadi defisit 7.2 peratus dan hutang lebih 56 peratus
berbanding nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan