3 Disember 2012

Klip video Pas tarik perhatian

Fathul Bari Mat Jahya membahaskan usul di Perhimpunan Agung UMNO 2012, semalam.
***** 
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Paparan dua video berhubung tindakan Pas mendoakan kehancuran UMNO dan menuduh parti utama orang Melayu itu murtad menarik perhatian perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012, di sini, hari ini.
Wakil UMNO Perlis, Fathul Bari Mat Jahya menggunakan pendekatan berkenaan bagi membalas tuduhan-tuduhan Pas ketika membahaskan usul pendidikan dan agama pada perhimpunan berkenaan.
Beliau yang memulakan perbahasan dengan memetik sepotong ayat al-Quran tentang fitnah sebagai ujian daripada Allah, meminta ahli-ahli UMNO bersikap bijaksana mendepani isu seperti itu kerana UMNO dan lebih tiga juta ahlinya bukan seperti digambarkan oleh Pas, malah tidak pernah memperlekehkan Islam.
"Fasal 3 Perlembagaan UMNO menegakkan, mempertahankan dan mengembangkan Islam, itulah yang kita lakukan zaman berzaman," katanya sambil diberikan tepukan gemuruh.
Dalam ucapan yang dipenuhi petikan ayat al-Quran, hadis dan kisah sahabat Rasulullah SAW, Fathul Bari berkata, pemimpin pembangkang seolah-olah lupa bahawa mereka juga adalah manusia, bukan malaikat yang tidak melakukan kesilapan dan kesalahan.
"Adakah mereka mendoakan kita ini malaikat, tidak, adakah mereka yang mendoakan kita ini para nabi, rasul, tidak, jadi muhasabah diri kita," katanya.
Merujuk peristiwa 'Biuma'unah', yang mana 70 sahabat Rasulullah SAW yang hafaz al-Quran dibunuh sehingga baginda melakukan Qunut Nazilah selama sebulan, namun berhenti setelah ditegur oleh Allah, Fathul Bari menjelaskan, pemimpin Pas perlu jelas dan mempunyai bukti kukuh bentuk kezaliman yang dilakukan terhadap mereka sebelum melakukan tindakan sama kepada UMNO dan pemimpin kerajaan.
Beliau turut menarik perhatian kisah dua sahabat Rasulullah SAW, Saad Ibni Waqas dan Said Ibni Said yang sangat berhati-hati dalam mendoakan kehancuran terhadap individu yang dikenali kerana memfitnah dan menzalimi mereka, bukannya bersikap semberono seperti pemimpin Pas yang mendoakan secara umum kehancuran terhadap UMNO.
Ini kerana katanya, Islam telah menggariskan beberapa pendekatan sekiranya seseorang itu hendak mendoakan kehancuran kepada pihak lain, namun menuntut mereka memberi kemaafan kerana ia lebih baik, sementara teguran kepada pemimpin pula mestilah dibuat secara lembut, bijaksana dan berhemah sebagaimana firman Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun ketika diutuskan bertemu Firaun.
"Kita (pembangkang) berkata, kita nak berhukum dengan hukum al-Quran, kita berkata kita nak berhukum dengan hukum sunah, praktikkan akhlak dan sikap ini. Jadi, saya hairan teman-teman saya nak berjuang, nak menegakkan Islam mengapa akhlak Islam ini tidak dipraktikkan," katanya.
Mengenai tuduhan Nik Abdul Aziz, Fathul Bari berkata, meskipun cuba bertindak bijak menggunakan pendekatan ilmu mantik dengan tidak menyebut secara khusus ahli UMNO murtad, namun umum mengetahui sebuah parti tidak akan tertubuh sekiranya tidak ada ahli.
Dalam konteks itu, beliau menarik perhatian sepotong hadis yang ditafsirkan oleh ulama bahawa Islam dibina di atas lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat, zakat, puasa dan haji yang kesemuanya telah dilaksanakan secara menyeluruh oleh kerajaan diterajui UMNO.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan UMNO melancarkan kempen 1Malaysia Tolak Fitnah bagi membanteras penyebaran budaya buruk tersebut yang kerap menjadikan pemimpin kerajaan sebagai sasaran.
Fathul Bari mengambil contoh ideologi kafir mengkafir yang dilakukan oleh pemimpin Pas terhadap UMNO, termasuk dakwaan kononnya UMNO menolak dan memperlekehkan Islam.
Beliau turut menarik perhatian perwakilan berhubung sepotong hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim mengenai seorang yang menuduh orang lain kufur dan fasik berkemungkinan menerima kembali tuduhannya itu sekiranya ia tidak benar.
"Kita kena jelaskan, berikan bukti, dalil, fakta, jangan bentuk persepsi yang salah dalam minda rakyat. Manfaatkan media alternatif, media arus perdana untuk kita menyebarkan perkataan yang benar.
Fathul Bari juga mengesyorkan supaya UMNO membawa politik kasih sayang, bukannya politik kebencian.
Beliau pada masa sama mengingatkan supaya hanya golongan pakar mengulas sesuatu isu bagi mengelak apa yang digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai golongan 'arruwaibidhoh' - iaitu seorang lelaki yang lekeh, tidak memiliki ilmu tetapi bercakap tentang urusan manusia.
Golongan itu katanya, merujuk kepada zaman iaitu pembohong dianggap bercakap benar, orang bercakap benar dianggap pendusta dan pengkhianat pula dikatakan seorang yang amanah.

Tiada ulasan: