BELIAU hanyalah individu biasa ketika menyertai
Pas, biar pun tidak memegang sebarang jawatan penting dalam parti, namun
demi kecintaan dan taksubnya bagi menjayakan perjuangan Islam yang
diuar-uarkan oleh Pas, beliau sanggup melakukan apa sahaja.
Bukan sahaja kerjaya dikorbankan, malahan beliau juga sanggup
mengkafirkan abang dan ayahnya hanya kerana perbezaan fahaman politik.
Jika suatu ketika dahulu beliau sanggup berkorban nyawa demi Pas,
tetapi kini beliaulah insan paling ke depan untuk membongkar kemungkaran
politik oleh parti yang pernah dianggotai selama 27 tahun.
Dan kini, insan bernama Zainon Ismail atau nama penanya C.N
Al-Afghani muncul lagi dengan buku terbaru berjudul 'Kafirkah Aku?'.
Buku ini adalah hasil karyanya yang ke-20 dan sebelum ini bukunya
bertajuk 'Air Mata di Bumi Memali' yang diterbitkan pada November 2010
menimbulkan kontroversi hingga diharamkan jualan dalam kalangan ahli Pas
kerana buku tersebut mendedahkan isu penyelewengan Tabung Mangsa
Memali.
Walaupun menerima pelbagai ancaman, ugutan dan tekanan sebelum ini
kerana kelantangan mengkritik kepincangan dalam Pas, namun Al-Afghani
tidak pernah berasa gentar. Apa yang beliau paparkan dalam buku terbaru
ini akan memberi pemahaman bagaimana seorang penyokong tegar Pas seperti
beliau akhirnya meninggalkan perjuangan parti itu selepas melihat Pas
yang selama ini menguar-uarkan perjuangan Islam semakin meninggalkan
hasrat suci itu semata-mata untuk memburu kuasa bersama-sama Parti
Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Dalam buku setebal 85 muka surat itu, Al-Afghani yang pernah berjuang
bersama Mujahidin di bumi Afghanistan mendedahkan bagaimana ahli-ahli
Pas seperti dirinya begitu taksub dengan perjuangan Pas.
''Tidak keterlaluan kalau dikatakan waktu itu, masing-masing sanggup
berkorban apa sahaja demi kawan atau istilah 'orang kita'. Lingkungan
orang kita ini hanyalah terdiri daripada ahli Pas. Walaupun ahli
keluarga, tetapi masih UMNO tidak diiktiraf sebagai orang kita. Lebih
dahsyat lagi hingga ada yang memutuskan hubungan keluarga. Pendirian ini
diambil sebenarnya bukanlah mengikut nafsu tetapi ada dalil-dalil yang
disampaikan oleh pimpinan Pas."
Demikian coret Al-Aghani dalam muka surat 7 buku berkenaan yang
memaparkan bagaimana demi perjuangan Pas, ahli-ahli parti itu sanggup
melakukan apa sahaja hatta menjatuhkan hukum kafir kepada mereka yang
tidak sehaluan politik.
Keadaan itu menjadi bertambah parah dengan lahirkan Amanat Haji Hadi
yang disampaikan pada 7 April 1981 di Kampung Benggol, Peradong, Kuala
Terengganu. Sehingga hari ini amanat yang dianggap mencetuskan pelbagai
konflik dalam kalangan umat Islam khususnya antara pengikut UMNO dan Pas
tidak ditarik balik oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini menjadi
Presiden Pas.
Sebab itulah dalam buku itu, Al-Afghani mencoretkan sebuah 'Warkah
Buat Datuk Seri Haji Hadi' yang antara lain meminta Abdul Hadi menarik
balik amanat tersebut dan isytihar secara terbuka bahawa UMNO tidak
kafir di sisi Islam.
''Dengan ini juga memudahkan lagi kami yang dalam dilema ini berlepas
diri daripada ikatan amanat tersebut. Memudahkan kami memohon maaf
kepada saudara kandung dan ahli keluarga, jiran tetangga, orang kampung,
rakan sekerja juga pimpinan UMNO yang pernah dikafirkan satu masa dulu.
Selagi mana Datuk Seri tidak mahu mengisytiharkan begitu, selagi itulah
persoalan yang sering menghantui 'Kafirkah aku jika bersama UMNO,
Kafirkah aku setelah dipecat dari Pas' tetap mencengkam saya. Datuk Seri
harus bertanggungjawab di atas keresahan ini, bebaskanlah kami dari
ikatan amanat Datuk Seri itu," tulis Al-Afghani.
Hakikatnya, buku 'Kafirkan Aku?', bukan sekadar berlegar kepada kesan
amanat Abdul Hadi sahaja tetapi jauh daripada itu satu renungan dan
iktibar serta peringatan kepada ahli-ahli Pas yang masih taksub dengan
perjuangan parti itu untuk memahami hala tuju parti tersebut yang
semakin bercelaru.
Ia kerana seperti mana dipaparkan Al-Afghani terlalu banyak perkara
yang dilakukan oleh Pas sekarang bertentangan dengan prinsip perjuangan
asal parti itu dan segala-galanya berlaku kerana keterujaan Pas untuk
mengejar kuasa ke Putrajaya bersama rakan-rakan sekutunya.
Malahan apa yang paling mengecewakan insan-insan perjuang tegar Pas
seperti Al-Afghani, pemimpin-pemimpin parti itu bersedia melakukan apa
sahaja kerana 'dalam mencapai matlamat (ke Putrajaya), pedulikan dulu
apa juga yang ada di kiri kanan lebuh raya ke Putrajaya.'
Sebab itulah prinsip dan dasar sedia ada dikorbankan, tiada lagi
ayat-ayat al-Quran atau dalil-dalil yang dibacakan oleh alim ulama Pas
berhubung kerjasama dengan bukan Islam seperti mana dahulu mereka sering
membaca surah al-Nisa ayat 144 yang bermaksud;
''Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kami mengambil orang
kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman.Adakah
kamu hendak mengadakan alasan yang terang dan nyata bagi Allah untuk
(menyeksa) kamu."
Al-Alfghani juga dalam bukunya itu turut mempersoalkan mengenai
tindak-tanduk kepimpinan Pas terutamanya dalam perjuangan melaksanakan
hukum hudud yang kini semakin dipinggirkan sedangkan perjuangan itulah
yang mengakibatkan ahli-ahli Pas sanggup melakukan apa sahaja dengan
hasrat ingin melihat Pas memerintah negara ini, menggantikan
pemerintahan sekular yang dibawa oleh UMNO.
''Sering kali disebut oleh pemimpin Pas, andainya Pas dapat
memerintah negara pada 12 jam tengah malam, maka undang-undang Islam
akan dilaksanakan pada jam 12.01 minit. Terhapuslah di situ
undang-undang Lord Reid. Sokongan padu pada Pas diberikan atas dasar
ini, yakni mahu lihat hukum hudud dilaksanakan. Selagi hudud tidak
dilaksanakan, ertinya perjuangan Pas masih gagal. Bagaikan makan tidak
bergaram, minuman tidak bergula," hujah Al-Afghani.
Apa yang menarik Al-Afghani turut menimbulkan pelbagai persoalan
mengenai kemelut yang berlaku dalam pentadbiran negeri di bawah Pas yang
disimpulkan oleh beliau, ''Pada saya, Pas belum boleh diberi
kepercayaan menerajui pemerintahan negara berdasarkan beberapa perkara.
Biarlah rakyat dan ahli Pas Kedah tertipu, jangan pula seluruh rakyat
Malaysia turut terpedaya. Slogan Kerajaan kebajikan, Kedah sejahtera dan
Serambi Mekah masih jauh tersasar.''
Mungkin bagi mereka yang taksub kepada perjuangan Pas, seperti biasa
mereka akan menuduh Al-Afghani sudah 'dibeli' oleh puak-puak tertentu,
Al-Afghani adalah tali barut UMNO dan Barisan Nasional, Al-Afghani
adalah pengkhianat kepada Pas.
Tetapi sebelum mereka membuat tafsiran dan tuduhan sedemikian, baca
dan kajilah segala hujah dan fakta yang dipaparkan oleh Al-Afghani dalam
buku berkenaan, kemudian bandingkanlah dengan situasi Pas sekarang,
sudah pasti mereka akan menemui kebenarannya.
Bak kata, Al-Afghani dalam buku itu, ''Tujuan saya tidak lain,
semata-mata menyelamatkan ummah yang sedang hanyut dibawa gelombang
hijau, biru, merah dan kuning. Atas nawaitu ini, saya terpaksa
membelakangkan segala tohmahan, Lontarkan rasa takut terhadap makhluk
dan menelan segala kepahitan. Arus yang dibawa oleh gelombang hijau ini,
nampaknya begitu besar. Bagaikan tsunami yang melanda semua tumbuhan
dan bangunan di tepi pantai. Saya tampil di suasana begini untuk
berteriak, agar insan yang di tepi pantai segera menyelamatkan diri ke
tempat yang lebih tinggi. Kembali ke landasan perjuangan sebenar
berpandukan al-Quran dan sunnah.''
Tiada ulasan:
Catat Ulasan