PULAU PINANG 16 Dis. - Pemimpin-pemimpin Melayu
dalam DAP mengingatkan ahli-ahli parti itu bahawa mereka akan mengalami
kerugian jika DAP hanya dikuasai oleh kaum Cina sahaja.
Malahan mereka juga mengakui perjuangan untuk menduduki jawatan
penting dalam parti itu masih sukar kerana majoriti ahli-ahli DAP masih
belum memahami konsep parti pelbagai kaum.
Naib Pengerusi DAP Johor, Ahmad Ton (gambar) berkata,
mengambil contoh dirinya yang sudah berjuang hampir 36 tahun dalam DAP,
beliau masih tidak mendapat kepercayaan perwakilan untuk mengundinya
sekali gus gagal terpilih dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) semalam.
"Saya tidak kecewa walaupun tidak dipilih namun konsep Malaysian
Malaysia yang diperjuangkan DAP masih tidak difahami oleh perwakilan
yang mengundi.
"Faktor kekalahan saya semalam juga mungkin faktor penyakit angin
ahmar yang pernah dihadapi saya sebelum ini. Jadi ada perwakilan yang
memandang rendah kepada keupayaan saya disebabkan masalah ini," katanya
ketika ditemui selepas Kongres DAP Kebangsaan Ke-16, di sini hari ini.
Dalam pengundian semalam, Ahmad hanya mendapat 347 undi dan sekadar berada di tangga ke-38 daripada 63 calon yang bertanding.
Berdasarkan pola pengundian semalam yang cenderung memilih calon
berdasarkan keturunan dan populariti, Ahmad berkata, DAP akan hadapi
masa depan yang kabur jika pemimpinnya tidak meluaskan konsep 'Malaysian
Malaysia'.
"Ahli DAP terutamanya generasi baru harus memahami maksud sebenar
konsep parti pelbagai kaum yang diperjuangkan selama ini dan menjadi
satu kerugian jika DAP hanya dikuasai kaum Cina sahaja.
"Perwakilan dan ahli parti generasi muda harus memahami dan belajar
apa yang dimaksudkan dengan DAP yang sebenarnya lebih daripada satu
bangsa," katanya.
Sementara itu, Senator Dr. Ariffin S.M. Omar yang kalah dalam
pemilihan semalam berkata, konsep parti berbilang kaum yang
dilaung-laungkan DAP masih belum diterima sepenuhnya oleh perwakilan
sehingga tiada calon Melayu yang berjaya menembusi tembok kebal jawatan
penting yang didominasi kaum tertentu dalam parti itu.
"Bagaimanapun saya tak kecewa dengan keputusan itu kerana saya pun masih baru di dalam DAP dan akan terus berjuang dalam parti.
"Apa yang penting ialah perjuangan orang Melayu di dalam parti ini
dan saya akan terus kekal seperti mana Ahmad Nor yang pernah menjadi
wakil rakyat di Bayan Baru," katanya.
Namun demikian, 'nasib' Ariffin lebih baik jika dibandingkan dengan
Ahmad kerana beliau hanya baru dua tahun menyertai DAP berbanding Ahmad
36 tahun dan Ariffin bernasib baik apabila digemari oleh pemimpin utama
DAP sehingga dilantik sebagai salah seorang Naib Pengerusi dalam
Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Kebangsaan.
Ariffin berkata, DAP juga tidak boleh meminggirkan kepentingan orang
Melayu jika mahu meneruskan impian menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya
Umum Ke-13 akan datang.
"Dalam DAP sekarang, ramai pemimpin Melayu tidak dikenali dan ini
menyukarkan mereka untuk meraih sokongan perwakilan DAP yang majoritinya
adalah kaum Cina," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Antarabangsa yang dilantik, V. Sivakumar
mengakui faktor populariti memainkan peranan penting bagi mendapat
kepercayaan perwakilan untuk mengundi.
"Saya sebagai contoh mungkin hanya dikenali oleh perwakilan dari
Perak disebabkan isu yang berlaku sebelum ini. Di peringkat kebangsaan
pula, pengaruh masih kurang meluas.
"Sehubungan itu, bagi pemimpin India DAP, masih banyak yang perlu
dilakukan untuk menguatkan pengaruh jika mahu meneruskan perjuangan
dalam parti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan