KUALA LUMPUR 29 Nov. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini berikrar bahawa beliau bersama-sama pimpinan UMNO akan terus
mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menaikkan martabat orang Melayu.
Beliau juga berjanji akan terus mempertahan akidah umat Islam dan memelihara agama yang suci ini.
"Saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden serta
seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan rasulNya,
berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus
memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus
memelihara agama Islam," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar
presiden bertemakan "Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional"
pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini.
Beliau berkata UMNO juga tidak akan berundur daripada terus berbakti
kepada rakyat Malaysia walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai
halangan.
"Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang,
UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah
jalan. UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan
Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari
luar mahupun dalam," kata Najib.
Dalam ucapannya itu, perdana menteri turut memperlihatkan sikap
rendah dirinya apabila meminta maaf bagi pihak kepimpinan parti dan
kerajaan atas segala kesalahan yang dilakukan.
"Bumi mana tidak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian
dunia manakah yang wujudnya orang atau pimpinan, atau persyarikatan atau
parti yang tidak pernah disandung atau tersalah.
"Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami
menyusun jari nan 10 memohon maaf atas kekhilafan," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan