KUALA LUMPUR 29 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru
para pemimpin UMNO agar rajin berkhidmat untuk rakyat, berwibawa dan
rendah diri bagi memastikan rakyat terus memberikan keyakinan kepada
parti.
Presiden UMNO itu berkata, ini kerana rakyat pada hari ini sudah
bijak membezakan antara pemimpin yang benar-benar empati kepada mereka
atau yang hanya muncul pada setiap kali pilihan raya.
"Bersuluhkan jamung perjuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti
cekal bekerja keras, kita mesti terus tabah meyakinkan rakyat bahawa
kitalah pilihan kepimpinan yang utama, bahawa kitalah yang mampu membawa
masa depan yang lebih baik kepada mereka dan anak-anak cucu mereka.
"Berikhlaslah dalam memberi khidmat kepada rakyat. Berpeganglah
kepada kata-kata ulama dan pujangga bahawa yang baik akan akhirnya
tertampak, yang buruk itu hujungnya kelak pasti terpandang jua," kata
beliau.
Najib berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada
Perhimpunan Agung UMNO 2012, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di
sini hari ini. -
Pada masa yang sama, beliau menggesa seluruh ahli agar berdisplin
dalam berorganisasi kerana ia merupakan faktor tonggak bagi menentukan
kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan.
"Disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu
berpeluang menang atau kalah dalam pilihan raya. Intipatinya, disiplin
berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan organisasi secara di
atas... di atas kepentingan individu," kata beliau. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan