KUALA LUMPUR 29 Nov. - Berikut petikan ucapan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO ketika merasmikan
Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra
di sini hari ini:
* Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi
nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan
parti, malah, hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai
pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan
pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah
sebetulnya para pengundi."
* Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan
pasca penubuhan UMNO. Oleh sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi
generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu
apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam sebaliknya ia berasaskan
merit hari ini beserta wawasan masa depan."
* Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang
rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata
orang tua-tua, ular yang menyusur akar, Pasti tidak akan hilang
bisanya."
* Hal disiplin berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia
merupakan faktor tonggak yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan
sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini. Dalam bidang
ketenteraan, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan di medan
perang."
* Dalam sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem
demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti
politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihan raya. Inti
patinya, disiplin berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan
organisasi secara di atas..., di atas kepentingan individu."
* Pada sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional yang
mengatakan bahawa perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita
menukar kerajaan tidak boleh diterima pakai di Malaysia."
* Kita ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi
peluang kepada pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan
keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat."
* Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan
negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan
bahan uji kaji.
Tanpa penilaian yang betul, teliti dan kritikal, menukar kerajaan
ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala
menjaga biri-biri."
* Inilah...inilah tahap kualiti dan hal ketidakmampuan perancangan
ekonomi parti lawan. Namun, ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana,
semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada tahun 1997-1998,
terbukti, Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri Kewangan ketika itulah
orangnya, yang kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah pengurus
ekonomi yang cekap."
* Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila
bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya,
bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya.
Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya sekian, sekarang jadi Ketua
Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe"elnya berubah pulak."
* Dalam Buku Jingga juga pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta
Keselamatan Dalam Negeri 1960 tetapi realitinya kerajaan Barisan
Nasionallah yang berani mengambil langkah, tidak setakat memansuhkan ISA
tetapi juga Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan tiga
pengisytiharan darurat serta membiarkan ordinan-ordinan yang digubal,
lupus."
* Dek kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO
parti nasionalis yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai
kepada tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita,
adalah saudara seakidah."
* Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara
kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti
umat, mereka di sini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain."
* Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat.
Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang
tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia Pasti kenal
siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia
yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara
Islam dan pelaksanaan hudud."
* Pilihan kepada tuan-tuan dan puan-puan kini antara Barisan
Nasional sebagai sebuah parti dengan rancangan holistik tentang halatuju
masa depan negara atau parti pembangkang yang kelam kelibut serta
bercelaru dibelenggu matlamat pakatan mereka, sama ada mahu menjadikan
Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara teokratik atau sebuah
negara berkebajikan."
* Berbalik kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran
demokrasi ala Parti itu amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan,
semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang ahli mempunyai pandangan
berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi mereka, yang tidak
bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0 dan tempoh jawatannya
sebagai Senator tidak disambung untuk penggal kedua."
* Perbezaan yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah bagi
kita, janji dibuat untuk ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering
berkata palsu apabila memancing undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan
semuanya kosong belaka."
* Pilihan raya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa
mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur
bersama-sama atau didewasakan dengan kebencian yang membara."
* Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita
hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula. Tetapi, jika kita
kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi.
Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di
tanah sendiri."
* Justeru, saya selaku Presiden UMNO , bersama-sama Timbalan
Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama
Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan
kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng
akidah umat dan terus memelihara agama Islam."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan