Najib Tun Razak melihat iPad akhbar digital Utusan Malaysia pada skrin sambil diperhatikan Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (depan, tiga dari kiri) semasa melancarkan e-paper sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Langkah proaktif Utusan
Malaysia memperkenalkan akhbar digital (e-paper) sebagai salah satu
produk baru mendapat pujian daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Perdana Menteri, pendekatan yang diambil Utusan Malaysia
itu merupakan langkah tepat kerana pembaca sekarang banyak menggunakan
gajet sebagai medium untuk mendapat akses kepada informasi.
"Saya kagum dengan langkah Utusan Malaysia. Ia satu usaha bagus serta wajar dipuji kerana kelebihan e-paper ia lebih interaktif dan mudah untuk diakses sesuai dengan perkembangan semasa dunia teknologi.
"Saya percaya usaha sebegini membolehkan Utusan menyampaikan dasar
kerajaan secara lebih baik kepada rakyat," katanya semasa melancarkan e-paper di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri
Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan,
Datuk Mohd. Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul
Aziz Ishak.
Perdana Menteri diberi taklimat mengenai e-paper oleh Pengarang Kanan Media Baru, Gamal Nasir Mohd. Ali.
E-paper yang ditawarkan Utusan menampilkan lima nilai tambah iaitu
multimedia interaktif, galeri foto dan video, carian pantas, capaian
keluaran lepas serta sokongan pelbagai platform dengan harga langganan
serendah RM20 sebulan.
Ia merupakan pakej harga langganan e-paper termurah di pasaran dengan pelanggan boleh melayari akses berita melalui web, android serta iPad.
Sempena majlis pelancaran itu, Perdana Menteri turut meluangkan masa
melawat pameran Kumpulan Utusan mengenai liputan perjuangan UMNO dan
pemimpin negara bermula pemerintahan Tunku Abdul Rahman sehingga
sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan