3 Disember 2012

Najib lancar RapidKuantan

Najib Tun Razak melakukan pelepasan ketika melancarkan RapidKuantan di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam. Turut kelihatan, Muhyiddin Yassin dan Adnan Yaakob. 
*****
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Perkhidmatan bas RapidKuantan yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bakal menawarkan tambang percuma selama sebulan bermula Isnin ini.
Berucap pada majlis pelancaran itu di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Najib berkata, RapidKuantan adalah cukup istimewa yang membuktikan Janji Ditepati selain merupakan sebuah lagi produk 1Malaysia.
Beliau berkata, perkhidmatannya kelak bakal memberi manfaat kepada kira-kira setengah juta penduduk daerah Kuantan dan kawasan sekitarnya.
''Saya mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Syarikat Prasarana Berhad (Prasarana) kerana dalam tempoh dua bulan selepas diumumkan pada pembentangan Bajet 2013, perkhidmatan bas RapidKuantan berjaya direalisasikan dengan 32 buah bas.
''Insya-Allah kalau kita dapat mandat baru daripada rakyat, banyak lagi yang dapat kita lakukan,'' katanya.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam dan beberapa pemimpin UMNO Pahang.
Tambah Najib, perkhidmatan RapidKuantan akan turut dilancarkan di Kuantan pada Isnin ini oleh Adnan yang akan memandu sendiri bas tersebut di sekitar pusat bandar.
''Adnan ada lesen memandu yang disahkan oleh SPAD. Ini bukan olok-olok, beliau akan pandu bas ini pada hari Isnin sebagai tanda inilah bas yang kita janjikan untuk orang Kuantan.
''Dengan ini, insya-Allah kita dapat beri satu lagi perkhidmatan berkualiti kepada komuniti Kuantan,'' jelasnya.

Tiada ulasan: