Orang ramai berdoa selepas solat
Jumaat di luar dewan yang dikhaskan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012
di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/ MOHD AZIM ABD
RAHMAN
*****
Sejak akhir-akhir ini semakin kuat tohmahan oleh
para pencacai parti pembangkang yang mendakwa bahawa UMNO parti sekular
dan parti yang menolak Islam. Semacam sudah menjadi tradisi setiap kali
menjelangnya pilihan raya, maka berkumandanglah isu-isu sebegini yang
semacam tiada berkesudahan hingga melarat-larat ke peringkat doa
menjahanamkan sesama Islam bahkan mempertikaikan akidah saudara seagama.
Istilah sekular atau sekularisme secara tuntas dapat difahami sebagai
satu fahaman atau ideologi yang memisahkan agama daripada apa jua aspek
kehidupan duniawi. Fahaman seumpama ini tentunya tidak secocok dengan
Islam yang difahami sebagai ad-Deen atau satu cara hidup syumul yang
tidak sesekali memisahkan agama daripada aspek-aspek keduniaan dan
kenegaraan.
Persoalannya, apakah benar UMNO parti sekular bahkan menolak Islam
sebagaimana yang didakwa oleh pihak pembangkang? Adakah selama 66 tahun
UMNO ditubuhkan, Islam dipisahkan daripada sebarang dasar mahupun agenda
pemerintahan? Atau apakah UMNO selaku parti teras kerajaan Barisan
Nasional selama ini menentang sebarang usaha memartabatkan dan
memperkasakan syiar Islam?
Apa yang pasti jika ditelusuri isu ini secara objektif dengan hati
yang bersih menggunakan kacamata yang jernih, maka kita akan dapati
bahawa UMNO tidak pernah mengesampingkan Islam dalam agenda
perjuangannya. Bahkan agenda Islam dizahirkan dalam Perlembagaan UMNO
Fasal 3.3 yang menyebutkan secara jelas bahawa asas dan matlamat
perjuangan UMNO antara lainya ialah "Menegak, mempertahan dan
mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip
kebangsaan beragama".
Malah penegasan mengenai komitmen UMNO terhadap agenda Islam ini
terus disebut oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan
dasar beliau sempena Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.
Sebagai rakyat Malaysia kita harus bersyukur kerana mempunyai sebuah
kerajaan yang begitu akomodatif kepada ajaran Islam. Apa yang
dimaksudkan penulis dengan nilai akomodatif ini ialah kesediaan kerajaan
yang diterajui UMNO untuk turut terlibat aktif dalam meratakan
kefahaman Islam sekali gus memartabatkan prinsip dan nilai-nilai Islam
sama ada dalam perjuangan mahupun pemerintahan.
Sememangnya UMNO telah banyak menyumbang kepada peningkatan syiar
Islam sama ada berbentuk fizikal seperti perundangan, pembangunan
prasarana dan institusi keagamaan mahupun dalam konteks penerapan
nilai-nilai Islam melalui pendidikan, sosial dan pembangunan ekonomi.
Sikap akomodatif UMNO ini jugalah yang memungkinkan berlakunya
transformasi sosial masyarakat sehingga meningkatnya kesedaran dan
keinginan untuk hidup beragama berpandukan nilai-nilai Islam yang luhur.
Kesedaran terhadap Islam juga tampak semakin mengakar dalam
masyarakat kini khususnya generasi yang lahir pasca kemerdekaan dan
melalui sistem pendidikan berorientasikan dasar penerapan nilai-nilai
Islam yang diperkenalkan kerajaan. Natijahnya Islam tampak kian menyubur
dalam masyarakat hinggakan pelbagai program agama bercambah dan
berkembang bagaikan cendawan selepas hujan.
Sistem ekonomi Islam berasaskan syariah yang bebas daripada riba
umpamanya, terus menjadi model negara-negara Islam mahupun bukan Islam
seantero dunia. Malah mungkin ramai yang masih tidak menyedari bahawa
Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai sistem dan
infrastruktur kewangan Islam yang paling komprehensif bersifat
menyeluruh.
Daripada institusi perbankan Islam, takaful, pasaran modal Islam yang
menyantuni keperluan pelbagai kelompok masyarakat hinggalah kepada
skim-skim pembiayaan mikro patuh syariah kepada golongan berpendapatan
rendah dan usahawan-usahawan kecil. Ini adalah sebahagian daripada
keseriusan kerajaan UMNO dalam mengembangkan syiar dan prinsip Islam
dalam bidang muamalah hingga mendapat pengiktirafan dan dijadikan model
negara-negara Islam lain.
Pengalaman penulis menjelajahi pelbagai negara seantero dunia yang
ingin belajar daripada Malaysia dalam membangunkan sistem kewangan Islam
berpandukan Syariah sentiasa dihujani dengan kenyataan kekaguman mereka
terhadap Malaysia.
Malah agenda memartabatkan Islam ini amat dicemburui oleh banyak
pemikir dan ulama antarabangsa yang sentiasa menjadi mangsa sikap keras
kebanyakan kerajaan khususnya di Timur Tengah yang bukan setakat tidak
akomodatif malah kadang kala menentang apa jua inisiatif individu yang
ingin menyuburkan syiar Islam.
Keadaan cukup berbeza dalam konteks negara kita Malaysia. Kewujudan
Pas sebagai sebuah parti berjenama Islam sudah cukup membuktikan
keterbukaan dan sikap demokratik kerajaan.
Kerajaan Malaysia di bawah UMNO bukan sahaja memberikan kebebasan
kepada pertubuhan-pertubuhan dakwah untuk berkembang subur malah turut
berperanan aktif mengembangkan dan menginstitusikan agenda Islam.
Bagaimanapun, dewasa ini wujud kecenderungan segelintir untuk
memperlekeh dan menidakkan usaha-usaha UMNO khususnya yang berkaitan
dengan agenda memartabatkan syiar Islam. Apa sahaja program agama dan
agenda Islam yang digagaskan mahupun yang telah dilaksanakan sering kali
cuba diremeh dan diperkecilkan seolah-olah hanya bertujuan meraih undi
dan sokongan murahan.
Sebenarnya kecenderungan meremehkan usaha dan tindakan orang lain
khususnya dalam upaya memartabatkan Islam bertitik-tolak daripada sikap
sesetengah pihak yang merasai bahawa Islam hanya milik mereka. Mereka
lebih kudus dan suci daripada orang lain. Justeru merekalah yang lebih
berhak memperjuang dan melaksanakan Islam di bumi Malaysia ini.
Perasaan angkuh, bongkak dan takabur inilah yang akhirnya membiakkan
prasangka buruk hingga sanggup menafikan sumbangan orang lain. Golongan
seperti ini seharusnya takut dengan amaran tegas Allah agar menjauhi
tabiat sebegini sebagaimana firman-Nya dalam surah An-Najm ayat 32 yang
bermaksud: Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah (Allah) yang paling mengetahui tentang orang-orang yang bertakwa.
Mengambil iktibar daripada ayat Allah ini seharusnya menyedarkan kita
betapa pentingnya untuk kita benar-benar menghayati akhlak Islam
sebenar. Sikap memperlekeh tahap keislaman orang lain seharusnya tidak
wujud dalam sanubari seorang Mukmin kerana ia hanya akan menjerumus umat
ke dalam kancah pertembungan emosi yang membinasakan.
Justeru, UMNO tidak perlu lagi mempedulikan apa orang kata. Yang
penting pendokong perlu terus dipasakkan dengan kefahaman agar terus
istiqamah memperkasakan Islam dalam agenda perjuangannya. Bagaimanapun
perjuangan Islam tidak akan sempurna jika amalan dan pegangan peribadi
dikesampingkan.
Kesedaran yang tinggi mahupun semangat menggunung semata-mata tidak
cukup sekiranya pengamalan terhadap prinsip-prinsip asas yang mendasari
ajaran Islam tidak benar-benar merata dan menyeluruh.
Memang masih banyak lagi ruang pembaikan yang boleh dilakukan UMNO
bagi tujuan memperkasa Islam dalam parti dan pentadbiran negara. Ini
termasuklah membersihkan parti daripada penyimpangan seperti rasuah, cah
keting dan apa jua bentuk amalan yang ditegah Islam.
Apa yang paling penting kita harus mengerti bahawa program
perlaksanaan syariat dalam konteks suasana kemalaysiaan yang serba rapuh
(fragile) ini harus dilakukan secara hikmah dengan mengambil kira pelbagai pertimbangan yang cukup calculative.
Akhirnya matlamat biar tercapai tanpa kegoncangan-kegoncangan yang
tidak perlu. Bak kata pepatah 'ikan biar tertangkap, tetapi air jangan
sampai keruh'.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121201/re_02/UMNO-perkasa-agenda-Islam#ixzz2DxKsLfUd
© Utusan Melayu (M) Bhd | 3/12/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan