SETAKAT ini belum ada analisis bebas yang mengatakan Barisan Nasional
(BN) akan kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13. Menang tetap
menang. Persoalannya, menang dengan majoriti 2/3 atau menang dengan simple majority (majoriti mudah).
Keputusan Pilihan Raya Umum 2008 dianggap satu malapetaka. Tetapi Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan sebaliknya. Kerajaan simple
majoriti boleh berfungsi lebih baik. Ia menjadi resipi melakukan
muhasabah, UMNO bangkit semula, dan kini pembangkang pula yang defensif.
Ia umpama bermain bola sepak. Angka kadang-kadang tidak penting.
Adakalanya pasukan dengan sembilan pemain mampu mengalahkan pasukan
lengkap sebelas pemain. Sebabnya, sembilan pemain yang tinggal itu lebih
berdisiplin, berkualiti, ofensif dan winnable.
Malaysia mendahului Hong Kong 1-0 dalam perlawanan persahabatan Piala
Suzuki AFF. Tetapi Hong Kong berjaya menyamakan kedudukan 1-1, beberapa
minit selepas mereka bermain dengan 10 pemain sahaja. Pokoknya,
strategi, taktikal, kepimpinan dan semangat bermain satu pasukan amat
penting.
Walaupun BN boleh memerintah tanpa majoriti 2/3, tetapi dalam konteks
masyarakat yang berbilang kaum, kerajaan majoriti 2/3 amat penting.
Apatah lagi di Malaysia, kita berdepan dengan pembangkang yang belum
matang.
Mereka enggan mengiktiraf sesuatu yang baik. Pada mereka yang baik
tetap tidak baik. Ada kalanya yang baik mereka cuba musnahkan.
Malaysia dan Amerika Syarikat sama-sama mengamalkan sistem politik
demokrasi. Tetapi kematangan parti-parti politik yang berebut kuasa di
Malaysia dan Amerika amat berbeza. Di Malaysia, parti pembangkang masih
belum matang.
Pada pilihan raya Presiden Amerika tahun 2000, Hakim Mahkamah Agung
Amerika Syarikat memutuskan dengan undi 5/4 mengekalkan keputusan 4/3
Mahkamah Agung Florida. Florida kekal dimenangi oleh Bush yang ditentang
oleh Al Gore. Pembangkang di Amerika menerima dengan baik keputusan
tersebut. Tidak ada kekecohan, dan tidak ada demonstrasi jalanan.
Ia berbeza dengan sikap pembangkang di Malaysia. Apabila Sultan Azlan
Shah (bekas Ketua Hakim Negara) memutuskan mengikut Perlembagaan Negeri
Perak, bahawa BN layak melantik Menteri Besar baru kerana ketiga-tiga
ADUN pembangkang berpaling tadah menyokong BN, pembangkang bertindak
liar dan tidak matang.
Mereka bermesyuarat di bawah pokok, ada penyokong berbaring secara
biadab di jalan raya dan bekas Speaker V. Ganesan (pembangkang) terpaksa
diangkat dan diusung keluar kerana enggan mengosongkan kerusi Speaker.
Di Parlimen, pembangkang kerap kali melakukan serangan hendap melalui undi 'belah bagi' (block voting)
untuk menggagalkan sesuatu Rang Undang-Undang. Ini termasuk cubaan
untuk menolak Bajet 2013 yang dibentang oleh Perdana Menteri. Mereka
sering membawa usul remeh seperti mahu memotong gaji menteri sebanyak
RM10.
Bayangkan, kalau Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) membawa
usul potong elaun Parlimen Ketua Pembangkang, kerana suka bercakap
bohong di Parlimen termasuk isu moralnya. Tetapi BN tidak melakukannya
kerana BN adalah parti yang matang.
Pembangkang menggunakan undi 'belah bagi' hanya untuk memalukan
kerajaan. Kita ada pengalaman pahit di mana Rang Undang-Undang
diluluskan dengan majoriti satu undi sahaja. Begitulah sukarnya jika
pembangkang tidak rasional dalam sebuah kerajaan bukan majoriti 2/3.
Justeru, BN perlu serius untuk kembali membentuk kerajaan majoriti
2/3. Jika tidak amat sukar kerajaan mahu melakukan perubahan. Sewajarnya
Perhimpunan Agung UMNO 2012 menjadi platform menyuntik iltizam
membahaskan idea-idea bernas bagaimana memenangi semula kerajaan
majoriti 2/3.
Kita perlukan sentuhan emas untuk memenangi pengundi baru, pengundi wanita, pengundi muda dan 'undecided voters'. UMNO perlu lebih ofensif. Winnable candidate juga penting. Tetapi winnable candidate mestilah yang sebenar-benarnya 'a winnable candidate'.
Segala-galanya kini terletak di tangan pemain, iaitu ahli dan
pemimpin semua peringkat UMNO itu sendiri. Ayuh berjuang melakar
kemenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan