BADRUDDIN Amiruldin mengangkat tukul
untuk menunjukkan kemarahan terhadap keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan
Negeri Selangor yang mahu mengambil alih pasar pagi dan malam serta
pasar tani semasa perbahasan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO
2012, di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Suasana Dewan Merdeka di
PWTC, di sini riuh apabila Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin
tiba-tiba 'mengamuk' sambil mengangkat tukulnya.
Nyata isu terkini yang didedahkan pembahas dari Selangor, Datuk Ramli
Norani mengenai keputusan kerajaan negeri yang ingin mengambil alih
pasar pagi dan malam serta pasar tani membuatkan Badruddin 'panas' dan
tidak senang duduk.
Masakan tidak, Badruddin adalah Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (FAMA) yang bertanggungjawab menguruskan pasar tani di
seluruh negara.
Ramli semasa mendedahkan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat exco
kerajaan negeri itu berkata, keputusan tersebut dibuat kerana mereka
menyedari ketiga-tiga pasar berkenaan menawarkan produk dan hasil
kampung yang baik serta mendapat sambutan hangat daripada masyarakat
termasuk golongan kaya.
"Saya nak beritahu di sini, kalau mereka nak ambil alih pasar tani,
saya akan kerah semua rakan penjaja berkumpul di pejabat SUK (Setiausaha
Kerajaan Negeri)," katanya semasa membahaskan Usul Ekonomi Ucapan Dasar
Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, di sini hari ini.
Nada marah beliau menentang keputusan itu turut membangkitkan
ketidakpuasan hati Badruddin yang tiba-tiba menjerit sambil mengangkat
tukulnya dengan berkata:
"Kalau mereka berani ambil alih, saya akan bawa jentera pasar tani
dari seluruh negara, kita kepung pejabat ibu negeri Selangor, itu janji
saya."
Tindakan spontan Badruddin membuatkan perwakilan yang lain turut riuh
kerana tidak berpuas hati apabila mengetahui keputusan berkenaan.
Ramli yang kemudian meneruskan perbahasannya setelah memberi laluan
kepada Pengerusi Tetap melampiaskan amarahnya turut meminta supaya
jumlah maksimum pinjaman makro kepada peniaga kecil dan peniaga
dinaikkan dari RM50,000 kepada RM100,000.
"Naikkanlah pinjaman itu supaya sedaplah sikit kita berniaga. Ia juga
untuk menaikkan ekonomi dan taraf hidup orang Melayu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan