Najib Tun Razak bersama para perwakilan Kelab UMNO Luar Negara melihat akhbar Utusan Malaysia semasa mengadakan pertemuan di tingkat 5, Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Kerajaan akan memastikan
tahap keselamatan rakyat Malaysia di luar negara terutama pelajar
ditingkatkan terutama di beberapa negara bergolak di rantau Arab.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan pertemuan
dengan 67 wakil Kelab UMNO Luar Negara di sini hari ini turut meminta
pemimpin kelab berkenaan supaya memberi maklumat segera berhubung
perkara itu kepada pihak kedutaan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negara Kelab UMNO Mesir, Habib Bakri Mamat
berkata, perkara itu dibangkitkan beberapa wakil Kelab UMNO berikutan
perkembangan semasa di Mesir dan Asia Barat yang masih tidak menentu.
''Kita gembira apabila permintaan kami mendapat perhatian serius
Perdana Menteri dan pada masa sama beliau mengajak kami berfikir kesan
pertukaran kerajaan yang bukanlah satu-satunya penyelesaian untuk
melihat perubahan,'' katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan
tersebut yang berlangsung selama kira-kira 30 minit itu.
Yang hadir sama, Pengerusi Biro Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Seri
Ahmad Shabery Cheek dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali
Ibrahim.
Presiden Kelab UMNO Australia Barat, A. Al-Haqq Mohamad Mubin pula berkata, kesediaan Perdana Menteri untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan dalam pertemuan itu amat melegakan.
Katanya, ia membuktikan keprihatinan pemimpin nombor satu negara
kepada pelajar di luar negara walaupun mempunyai pelbagai isu yang lebih
kritikal di tanah air.
Presiden Kelab UMNO Auckland, Noor Liyana Nouxman berkata,
Perdana Menteri turut menyampaikan pesanan supaya Kelab UMNO Luar Negara
menjadi jentera untuk membantu UMNO dan kerajaan khususnya dalam
menjayakan agenda transformasi.
Katanya, Perdana Menteri turut menyifatkan Kelab UMNO Luar Negara
sebagai landasan terbaik untuk generasi muda menjayakan agenda
berkenaan.
Sementara itu, wakil Kelab UMNO Queensland, Fatin Sajeeda Abdul Shukor
yang kali pertama menghadiri Perhimpunan Agung UMNO mengakui teruja
dapat menghadiri pertemuan bersama Perdana Menteri hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan