KUALA LUMPUR 1 Dis. - Cara yang dipraktikkan Pas ketika mendoakan
kehancuran UMNO adalah tidak mengikut kaedah Islam seperti yang
dilakukan Nabi Muhammad SAW, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja
Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahya.
Beliau berkata dalam doa itu, Pas tidak menjelaskan secara spesifik
bentuk kezaliman yang dimaksudkan, seolah-olah menuduh seluruh anggota
UMNO berlaku zalim.
Ketika membahaskan usul agama dan pendidikan di Perhimpunan Agung
UMNO 2012 hari ini, beliau menceritakan kisah Nabi Muhammad SAW yang
mendoakan supaya Allah melaknat pihak yang menipu baginda semasa meminta
nabi mengutuskan 70 pakar al-Quran untuk memenuhi beberapa kabilah,
namun dibunuh di pertengahan jalan.
"Nabi doakan laknat ke atas mereka dalam setiap solat nabi selama
sebulan, doa dalam qunut nazilah. Kemudian, Allah turunkan ayat menegur
perbuatan nabi, dan nabi hentikan perbuatan itu.
"Doa nabi khusus kepada orang yang melakukan kezaliman itu, nabi
sebut nama satu persatu. Persoalan sekarang doa yang dibaca Pas disebut
perkataan umum, iaitu UMNO," katanya.
"Adakah kita semua di sini menzalimi mereka? Adakah kita semua di
sini menghancurkan mereka? Adakah kita semua di sini rasuah?," katanya
disambut laungan tidak!" oleh perwakilan UMNO.
Fathul Bari berkata doa oleh Nik Razi Nik Mat, adik kepada Mursyidul
Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini menggunakan kaedah yang
salah dan tidak memenuhi kriteria doa orang yang dizalimi.
Mengikut kaedah Islam, doa itu perlu dirujuk kepada satu pihak secara
spesifik bersama bukti, perlu diletak perkataan "sekiranya" jika tidak
Pasti dan perlu ada pernyataan memaafkan kepada pihak yang dirujuk,
katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan