1 Januari 2013

DAP, Pas, kalimah Allah dan “perjanjian balak"


Oleh Lukman Ismail
SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng dikatakan cuba bermain api apabila membuat seruan terbuka agar kerajaan Pusat membenarkan penggunaan kalimah Allah di dalam Bible versi bahasa Melayu, ketika sambutan Hari Natal baru-baru ini. Kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sudah pasti membangkitkan rasa tidak senang dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Apa yang menjadi persoalan ialah kenapa Guan Eng masih membangkitkan tentang isu ini sedangkan beliau sudah maklum bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam sahaja dan tidak agama lain.
Maha Missa (mahamissa.blogspot.com) berkata, sekiranya Guan Eng terlupa mengenai fatwa tersebut maka menjadi tanggungjawab Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang untuk menegur Ketua Menterinya tetapi realitinya tiada sebarang kenyataan daripada pihak berkenaan.
Setelah beberapa hari isu ini diperkatakan, barulah terhegeh-hegeh puak-puak yang mengaku Islam dalam pakatan pembangkang mengeluarkan kenyataan... mengapa perlu sampai beberapa hari untuk menegur serta mempertahankan kalimah Allah yang seharusnya menjadi tanggungjawab kita bersama khususnya barisan pemimpin ?
Ada yang berbisik ke telinga MMI (MahaMissa), mereka harus duduk berbincang terlebih dahulu untuk mencari jalan bagaimana nak keluarkan kenyataan tanpa mengguris hati dan perasaan Guan Eng. Agaknya kerana ikatan dalam pakatan pembangkang jauh lebih penting daripada mempertahankan kalimah Allah...".
Pendirian Pas mengenai kalimah Allah itu dibuat oleh Ketua Penerangannya, Tuan Ibrahim Tuan Man iaitu Bible bahasa Melayu harus menggantikan istilah God" dengan Tuhan dan bukannya Allah untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal.
Mengenai isu ini, Azli Shukri (azlishukri.blogspot.com) berpendapat, Pas mulai rasa tertekan, ragu-ragu, kelam kabut dan panas dengan kenyataan Guan Eng itu memandangkan para pemimpin mereka sendiri tidak sependapat berhubung hal ini.
Katanya, kumpulan pertama diketuai Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mudah mengizinkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah di dalam kitab mereka manakala kumpulan diketuai Datuk Harun Din dengan tegas menolak kemahuan Guan Eng.
Sekiranya dahulu Pas sangat bertegas dan menyokong penggunaan kalimah Allah oleh puak-puak Kristian, kini nada mereka sudah mula berbeza. Inilah padahnya jika mereka beriman kepada Tahalul Siyasi dengan menggunakan hawa nafsu.
Pas terlalu yakin dan percaya untuk menang dan memartabatkan Islam di Malaysia, mereka wajib" bekerjasama (tahalul siyasi) dengan DAP (yang tidak gemar kepada Islam itu) dan pada masa yang sama meninggalkan umat Islam yang lain," katanya.
ISU BALAK
ISU pemberian kawasan balak oleh kerajaan Kelantan kepada pemimpin DAP Perak turut menjadi perbualan hangat minggu ini. Ia berikutan pengakuan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham bahawa dia menerusi syarikat Upaya Padu Plantation Sdn. Bhd. memperoleh projek pembalakan di Kelantan ketika pembangkang berjaya merampas Perak pada pilihan raya umum lalu.
Pisau (www.pisau.net) berkata, berdasarkan carian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, 40 peratus atau RM15 juta saham Upaya Padu Plantation dimiliki oleh Koo Ham dan 51 peratus atau RM16 juta lagi dimiliki oleh syarikat Efektif Kirana. Manakala 99 peratus saham syarikat Efektif Kirana pula dimiliki oleh Koo Ham sendiri.
Justeru, secara dasarnya, Upaya Padu Plantation adalah hampir 100 peratus milik Ngeh Koo Ham. Dia juga telah pun mengaku bahawa beliau adalah pemilik syarikat tersebut walaupun sebelum ini cuba sedaya upaya menipu dan menafikan segala-galanya.
Memandangkan semuanya sudah kantoi dan terbarai, maka terhegeh-hegehlah Nik Aziz dan Ngeh mengatur langkah untuk membela diri apabila urus niaga gelap mereka terdedah," katanya.
Blog Penyokong Pas (penyokongpas.blogspot.com) pula menyuarakan rasa tidak senang hati ahli-ahli akar umbi terhadap tindakan Menteri Besar Kelantan itu menyerahkan tanah tersebut kepada Koo Ham.
Katanya, bagi ahli-ahli akar umbi Pas, kenapa kerajaan Kelantan menyerahkan kawasan balak itu kepada DAP kerana bagi mereka parti itu tidak seharusnya diberi muka sedemikian dan Muhammad Nizar Jamaludin pula seharusnya layak menjadi Menteri Besar atas kekuatannya, dan bukan hasil perjanjian dengan Cina DAP.
Ngeh dan Nga Kor Ming adalah musuh Pas nombor wahid di Perak. Kata mereka, dalam siri ceramah Pas di kampung-kampung, nama Koo Ham dan Kor Ming ini macam virus. Buat orang menyampah.
Ana mintalah kerajaan negeri Kelantan tengok semula kes ini. Kalau boleh tarik balik, tarik balik anugerah yang diberikan kepada mangkuk hayun DAP ini. Jangan lupa, kita perlu tampilkan kita sebagai kerajaan yang bersih menjelang pilihan raya ini. Tarik balik. Buat apa tunggu," katanya.
Blog Gelagat Anwar (gelagatanwar.wordpress.com) pula mendakwa perjanjian balak" antara DAP dan Pas itu menimbulkan kekhuatiran kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana isu ini boleh menyebabkan DAP akan kehilangan maruah sebagai sebuah parti yang kononnya bersih.
Anwar bersungguh menyampaikan hasrat kepada Karpal (Singh) agar pressure (mendesak) DAP supaya mengambil tindakan disiplin segera dalam isu Koo Ham dan Kor Ming. Anwar tidak risau dengan Pas sebab Pas ada ayat al-Quran untuk tenangkan hati pengundi Melayu. DAP? Integriti dan kebolehpercayaan adalah segalanya untuk DAP. Kalau terbukti bahawa mereka terlibat, DAP is gone," katanya.
Katanya, jika Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang tiada langsung namanya di dalam NFC sanggup melepaskan jawatan, Koo Ham dan Kor Ming yang jelas adalah penama di dalam Upaya Padu sudah seharusnya melepaskan jawatan dalam Jawantankuasa Eksklusif Pusat DAP.
Turut mendapat perhatian minggu ini ialah blog Hambali Abd Latiff (hambali1.blogspot.com) yang mengupas tindakan Pas mempolitikkan bencana banjir di Pantai Timur serta Antara Pos (antarapos.com) yang turut melaporkan tentang mesyuarat tergempar oleh pakatan pembangkang berhubung isu kalimah Allah.
SELAMAT TAHUN BAHARU 2013.

Tiada ulasan: