Nasharudin Mat Isa (dua dari kanan)
bersama Najib Tun Razak dan Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza,
Ismail Haniyeh serta rombongan mengaminkan doa ketika melawat lokasi
kereta Ahmad Al-Jabari yang dibom Israel di Bandar Gaza, Selasa lalu. -
BERNAMA
*****
Lawatan Kemanusiaan Datuk Seri Najib Tun
Razak ke Gaza pada Selasa lalu telah mencatatkan sejarah sebagai Perdana
Menteri Malaysia yang pertama menjejak kaki di bumi Palestin.
Salah seorang yang anggota rombongan dalam lawatan tersebut ialah
Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia, NASHARUDIN MAT ISA. Dalam pertemuan
dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR di Kaherah, Mesir, pada
Khamis lalu, Nasharudin mengupas kejayaan lawatan berkenaan.
UTUSAN: Pada pandangan Yang Berhormat (YB), apakah hasil lawatan kemanusiaan Perdana Menteri ke Gaza?NASHARUDIN: Saya mengikuti laporan media-media berbahasa Arab berhubung lawatan Perdana Menteri itu, ternyata mereka memberikan liputan yang cukup positif. Apa yang menarik satu tag line yang digunakan oleh semua media ini ialah ia lawatan pertama seorang pemimpin Islam yang bukan dalam kalangan negara Arab.
Mereka memuji keberanian Perdana Menteri untuk memasuki zon perang bukan sahaja bagi melihat sendiri penderitaan rakyat Palestin di Gaza tetapi juga menyampaikan sumbangan-sumbangan yang dilihat cukup signifikan bagi golongan itu.
Pada pendapat saya, lawatan berkenaan telah memberikan imej yang cukup baik kepada Malaysia dan di Kaherah sendiri, apabila kita sebut sahaja nama Malaysia mereka memberikan penghargaan cukup tinggi.
Ini memandangkan Malaysia sentiasa dilihat sebagai model kepada Islam berbentuk praktikal dalam dunia moden sekarang. Walaupun ada banyak ruang yang boleh kita baiki dalam negara sendiri tetapi dalam konteks Islam dan pembangunan, Islam dan kesederhanaan dan praktikal Islam, Malaysia dilihat sebagai model.
Saya sebagai seorang Muslim dan rakyat Malaysia berbangga dengan pengiktirafan ini, walaupun dalam masa yang sama banyak pembaharuan yang mesti dan wajib kita lakukan.
Tetapi pergerakan Fatah tidak selesa dengan lawatan berkenaan?
Saya hairan dengan pendirian Fatah itu kerana Gaza adalah sebahagian daripada Palestin tetapi hal-hal berkaitan dengan diplomatik saya serah kepada kerajaan untuk menanganinya.
Bagaimanapun bagi saya, adalah menjadi hak Fatah untuk berasa tidak puas hati tetapi Malaysia adalah sebuah negara berdaulat, mempunyai integriti dan hak untuk menentukan hubungan antarabangsa.
Selain itu sebagai sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat, Malaysia berhak untuk mengambil posisi dalam isu-isu tertentu, kita tidak perlu terikat dengan tekanan, rasa kecil hati dan sebagainya, ini urusan kita. Dalam urusan dalaman Palestin biarlah mereka selesaikan sesama mereka.
Bagaimanakah YB melihat perkembangan mutakhir di Gaza?
Walaupun sebuah semenanjung kecil tetapi satu perkara hebat yang ada pada diri mereka ialah jati diri rakyat Palestin di situ untuk melawan arus tekanan khususnya dari Israel.
Walaupun menghadapi pelbagai kesulitan dan kekurangan untuk membangunkan kawasan mereka, namun semangat dan jiwa untuk bangun lawan dan mengekalkan jati diri cukup tinggi.
Oleh itu, kita melihat ada potensi untuk melihat Palestin menjadi sebuah negara yang merdeka. Bagaimanapun apa yang perlu diberi penekanan seperti terkandung dalam ucapan-ucapan Perdana Menteri di Gaza ialah keperluan untuk menjayakan Pelan Perdamaian yang sedang dilakukan oleh Fatah dan Hamas.
Dan sudah tentulah gerakan politik penting dalam konteks ini untuk Palestin dapat terus membangun. Ia kerana suasana dan realiti politik mereka tidak sama dengan kita. Politik mereka berdepan dengan musuh yang sedemikian rupa, mereka menghadapi tekanan dari luar, mereka berdepan dengan sekatan dan pelbagai lagi kesulitan.
Bagaimanapun di Gaza, kita lihat di sebalik tekanan itu, mereka bukanlah satu bangsa yang hanya sekadar menagih simpati atau meminta sedekah, tetapi mereka adalah bangsa yang berjuang melawan arus tersebut dan sudah tentulah kita yang agak selesa di negara kita dan negara Islam lain sepatutnya memberikan bantuan semaksimum yang boleh untuk membantu mereka.
Sememangnya Malaysia ingin melihat Pelan Perdamaian melibatkan Fatah dan Hamas berjaya, tetapi dalam masa yang sama kita lihat Fatah mempunyai sikap iri hati, sebagai contoh bantahan mereka terhadap lawatan Perdana Menteri ke Gaza, apa komen YB?
Pelan Perdamaian itu bukanlah satu perkara yang mudah hendak dilaksanakan, ia sudah diuar-uarkan sekian lama, namun dalam tempoh setahun kebelakangan ini, baru nampak ia bergerak lebih aktif. Sudah tentulah ini akan mengambil masa sebab kedua-dua adalah entiti politik yang besar.
Fatah yang mendominasi sebelah Tebing Barat sudah lama dalam persada politik Palestin manakala Hamas mempunyai populariti tinggi bukan sahaja di Gaza atau Palestin secara keseluruhannya tetapi sebuah gerakan yang dilihat mendominasikan politik Asia Barat ketika ini.
Maknanya, kedua-dua pihak ini yang memiliki kehebatan masing-masing harus duduk berbincang. Baru-baru ini, mereka sudah berbuat demikian di sini (Kaherah) dan saya percaya ia akan mendatangkan hasil.
Bagaimanapun sudah tentulah perkara yang sebesar ini tidak boleh diselesaikan dalam bentuk singkat dan ringkas. Insya-Allah kita mendoakan agar Pelan Perdamaian ini berjaya demi rakyat Palestin, keamanan di Asia Barat dan demi kemerdekaan Palestin.
Pilihan raya umum Israel yang berlangsung pada Selasa lalu dibimbangi akan menyebabkan wujudnya dasar lebih tegas terhadap Palestin, apakah ia akan berlaku?
Saya berpendapat pilihan raya berkenaan tidak akan memberi banyak kesan kepada Palestin. Ini memandangkan agenda pemerintah Israel mempunyai kaitan dengan agenda rejim Zionis iaitu mewujudkan apa yang dipanggil Tanah yang dijanjikan, umat terpilih dan matlamat menjadikan Al-Quds sebagai ibu kota mereka.
Justeru agenda mereka ini adalah agenda yang besar, oleh itu dalam soal perkembangan politik sama ada berganti atau tidak sesuatu rejim dalam memerintah Israel, ia ibarat pertukaran pemandu sahaja.
Tetapi kenderaan atau matlamat dan agenda masih sama, oleh itu apabila ada hadis Rasulullah SAW menyebut, tidak akan berlaku kiamat melainkan berlaku peperangan antara Islam dan Yahudi, maka kita perlu mengambil kira pertembungan antara Palestin dan Israel.
Bagi saya, Palestin tidak boleh rukuk dan sujud dengan tekanan Israel. Saya percaya Hamas memiliki kelebihan menentang rejim tersebut dan ia akan menjadi bertambah kuat apabila mereka bergabung dengan pergerakan Fatah.
Dalam usaha menggabungkan kekuatan kedua-dua pergerakan itu, Perdana Menteri mahu mereka berpegang kepada konsep Satu Ummah, apa komen YB?
Apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri itu bukanlah satu konsep baru tetapi konsep yang sudah dinyatakan di dalam al-Quran iaitu kamu adalah umat yang satu.
Jadi bagi menggerakkan konsep Satu Ummah ini, saya berpendapat Malaysia boleh memainkan peranan dan tawaran Perdana Menteri bahawa Malaysia bersedia memberikan sumbangan bagi menjadikan Pelan Perdamaian melibatkan kedua-dua pergerakan itu cukup ikhlas dan bermakna. Kita sudah berjaya di selatan Filipina dan saya tahu Malaysia juga telah berjaya dalam beberapa usaha dalam isu-isu melibatkan umat Islam khasnya.
Oleh itu, apabila Najib menyebut konsep Satu Ummah di Gaza, saya berharap apa yang dilontarkan oleh Perdana Menteri itu dapat diambil oleh Hamas dan Fatah untuk bergerak ke depan. Ia kerana isu Palestin adalah isu yang bukan hanya sekadar percaturan politik tetapi melibatkan agama, akidah dan kiblat umat Islam (Masjid Al-Aqsa) yang pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan