29 Januari 2013

Rakyat buat pilihan tepat - PM

NAJIB Tun Razak bersalaman dengan Dr. Mahathir Mohamad setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland. Turut kelihatan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Muhyiddin Yassin dan isteri, Noorainee Abdul Rahman. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS 
*****
SEPANG 27 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemakmuran dan kerahmatan yang dinikmati negara selama ini disebabkan majoriti rakyat Malaysia membuat keputusan tepat untuk terus bersama-sama barisan kepimpinan yang sentiasa melakukan terbaik demi kepentingan mereka.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu memandangkan rakyat Malaysia menerima barisan kepimpinan yang sentiasa melakukan yang terbaik untuk mereka namun bukan kalangan yang menidakkan segala-galanya atas kepentingan politik.
Sehubungan itu tegasnya, beliau tidak pergi ke luar negara bagi memperlekehkan negara sebaliknya untuk menjulang nama negara kerana perkara tersebut bukannya mengenai kepentingan peribadi tetapi demi kepentingan rakyat.
"Kita mesti mengakui bumi Malaysia ini dilimpahi rahmat yang begitu banyak dan ini kerana rakyat telah membuat keputusan yang tepat untuk bersama kita dari dahulu hingga sekarang.
"Insya-Allah, masanya akan tiba tidak lama lagi untuk kita melakukan satu lagi keputusan dan kalau kita semua bersatu, tahu membuat pilihan tepat dan melakukan apa yang dituntut oleh agama, kita akan dapat masa depan yang jauh lebih gemilang di masa depan," katanya.
Najib berucap di hadapan kira-kira 10,000 ahli dan penyokong Barisan Nasional (BN) yang menyambut kepulangan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Kehadiran mereka bagi menunjukkan sokongan kepada Najib yang mengadakan lawatan ke Semenanjung Gaza Selasa lalu sebelum menghadiri Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013 di Davos, Switzerland.
Orang ramai yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan kaum itu turut membawa sepanduk dan kain rentang antaranya bertulis "Selamat Pulang Pejuang Umat", "PM Wira Negara", "We Are Proud To Have A Brave PM" dan "We Love PM".
Najib berkata, usaha itu telah menyaksikan pengiktirafan beberapa para pemimpin dalam WEF yang melihat Malaysia antara beberapa negara yang menyinar dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu sekarang.
Beliau berkata, majlis Malam Malaysia yang diadakan dalam forum itu misalnya turut menerima sambutan luar biasa kerana dihadiri kira-kira 1,000 orang berbanding jangkaan awal sekitar 400 orang yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai kejayaan dan dasar yang dilaksanakan negara ini.
"Saya beritahu mereka saya bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet akan berusaha segigih mungkin untuk mencapai Wawasan 2020, negara maju menjelang tahun 2020," katanya.
Dalam pada itu, Najib turut melahirkan rasa terharu atas sambutan yang tidak disangka tersebut dan menghargainya kerana melihat perhimpunan berkenaan menunjukkan komitmen rakyat Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin di Gaza.
"Ada orang kata kita patut melakukan apa sahaja untuk menentukan keselamatan Israel, tetapi bagi kita, bagi rakyat Malaysia, bagi Barisan Nasional, bagi kerajaan, yang kita pentingkan ialah rakyat Palestin mesti mendapatkan hak asasi dan kedaulatan serta keselamatan yang terjamin," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, penubuhan kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah adalah penting bagi memastikan perjuangan mereka di bumi Palestin mencapai kejayaan.
"Ingatlah tunjang kepada segala-galanya adalah perpaduan dan pengajaran tersebut kepada kita di bumi Malaysia ini bahawa perpaduan adalah tonggak kepada segala-galanya.
"Kita boleh beri sokongan moral, kewangan dan politik tetapi kesudahannya rakyat Palestin mesti ambil langkah ke arah perpaduan. Inilah mesej yang telah saya sampaikan kepada mereka bahawa rakyat Malaysia merupakan pejuang yang akan sentiasa berdiri teguh di belakang rakyat Palestin dalam perjuangan mereka," katanya.

Tiada ulasan: