29 Januari 2013

Hari jadi Nik Aziz dirai di rumah Karpal Singh

PERTEMUAN Nik Aziz dan Karpal Singh di Pulau Pinang seperti disiarkan Malaysiakini, semalam.
KUALA LUMPUR 27 Jan. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan membuat 'kejutan' apabila menyambut hari jadinya yang ke-82 di rumah Karpal Singh di Jalan Scotland, Pulau Pinang.
*****
Menurut laporan portal berita propembangkang, Malaysiakini, Nik Aziz tiba di kediaman Pengerusi DAP itu kira-kira pukul 3 petang dan Menteri Besar Kelantan tersebut meluangkan masa selama 20 minit beramah mesra dengan Karpal.
Malaysiakini juga melaporkan Mursyidul Am Pas itu memotong kek sempena ulang tahun kelahirannya ke-82 sambil disaksikan pemimpin DAP, Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Karpal dimaklumkan gembira dengan kehadiran Nik Aziz yang tiba 30 minit lebih awal.
Selain itu, portal tersebut yang memetik kenyataan Karpal mendakwa, Nik Aziz menyatakan hasrat untuk menemui Pengerusi DAP tersebut melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, S. Raveentharan sebelum menjadi kenyataan.
"Kehadirannya (Nik Aziz) memberikan mesej yang kuat bahawa kesatuan kami tetap utuh walaupun dengan apa yang telah berlaku. Kami memahami dan menerima perbezaan antara satu sama lain," kata Karpal sebagaimana dipetik daripada Malaysiakini di sini hari ini.
Karpal sebelum ini menimbulkan kemarahan ramai umat Islam apabila mendesak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama parti itu yang berpendirian kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.

Tiada ulasan: