29 Januari 2013

Nasharudin tidak tahu digugur daripada Majlis Syura

NASHARUDIN MAT ISA
*****
KUALA LUMPUR 28 Jan. - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, beliau belum dimaklumkan secara rasmi mengenai penggugurannya daripada Majlis Syura sebaliknya hanya mengetahui berhubung perkara itu melalui media.
"Sehingga di saat ini saya masih belum menerima sebarang surat menyatakan perlucutan jawatan tersebut.
"Saya hanya tahu tentang pemecatan tersebut melalui media dan tidak melalui saluran rasmi parti," katanya menerusi satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.
Nasharuddin, yang juga Ahli Parlimen Bachok, berkata jawatan dalam Majlis Syura Ulama itu adalah lantikan parti dan parti berhak untuk memecatnya.
"Berorganisasi hanyalah wadah tetapi berpegang pada prinsip adalah satu tuntutan dan saya akan terus berikan sumbangan terbaik kepada mana-mana pihak yang ingin mendaulatkan Islam," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: