29 Januari 2013

Nasharuddin kena hukuman politik PAS


Pengguguran selepas ikuti rombongan PM ke Gaza

Kuala Lumpur: Pengguguran Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama PAS dilihat lebih bermotifkan politik.

Ini berikutan tindakan itu diambil selepas bekas Timbalan Presiden PAS itu pulang daripada mengikuti rombongan Datuk Seri Najib Razak ke Gaza.
Perdana Menteri berkata, PAS sepatutnya menghargai lawatan Nasharuddin berikutan ia untuk kepentingan umat Islam atas pendiriannya berjuang tanpa menidakkan mana-mana parti politik.

Bagaimanapun, PAS lebih melihat lawatan Nasharuddin itu sebagai menguntungkan kerajaan dan UMNO berbanding parti itu, sekali gus mungkin menjadi punca dipecat.

“Walaupun dikatakan disebabkan kegagalan beliau menghadiri mesyuarat Majlis Syura, ‘timing’ pemecatan beliau itu selepas kembali ke tanah air selepas membuat lawatan ke Gaza, memberi gambaran bahawa ia ada kaitan dengan lawatan itu.

 Pendirian Nasharuddin

“Padahal Ustaz Nasharuddin seorang yang percaya kepada kesatuan dan penyatuan ummah. Beliau tidak menidakkan mana-mana parti politik, namun mementingkan perpaduan untuk mewujudkan satu ummah... dan inilah pendiriannya,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada sesi minum petang ‘Youth Defined 2: Youth Action Forum 2013’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Ketika ditanya sama ada pemecatan Nasharuddin itu dilihat sebagai kejayaan golongan Anwarinas dalam PAS yang mahu menyingkirkannya, Najib enggan membuat sebarang spekulasi tetapi menegaskan sepanjang perjumpaan mereka berdua, Ahli Parlimen Bachok itu tidak pernah mengutuk mana-mana pihak.

Tindakan perlekeh lawatan

Mengenai tindakan ramai pemimpin pembangkang yang memperlekehkan lawatannya ke Gaza pula, Perdana Menteri berkata:

“Sebab mereka tidak berbuat demikian (melawat Gaza) tapi atas apa-apa sebab... wallahualam. Saya sebagai Ketua Kerajaan sudah dapat sampai ke bumi Gaza, merupakan satu langkah yang mendapat sokongan cukup menyeluruh daripada rakyat Malaysia... dan inilah yang tidak disenangi pemimpin pembangkang.

“Sepatutnya yang penting sekali ialah matlamat kita tercapai untuk membantu rakyat Palestin memperjuangkan isu Palestin, tidak membenarkan isu ini terpinggir dan masyarakat itu berasa keseorangan. Mereka amat menghargai lawatan itu kerana mereka tahu saya sudah membuat perjalanan lebih 7,500 kilometer untuk melawat bumi Gaza.”


Tindakan PAS aneh

Sementara itu, di Kuching, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan tindakan PAS itu agak aneh dan seolah-olah menidakkan usah baik dan kerja-kerja amal.

“Tapi itu hak mereka (hendak memecat). Mungkin ia diambil kerana bekas Timbalan Presiden PAS itu mengambil langkah yang dilihat ke arah memperkukuhkan hubungan kita dengan Palestin... hendak menunjukkan hasrat kita memperjuangkan nasib orang tertindas.

“Mungkin kerana Nasharuddin ada peranan sebegitu, maka tindakan dikenakan terhadapnya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan 3,000 penjawat awam di sebuah hotel.

/hwa: bharian.com.my | 29/1/13

Tiada ulasan: